NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelantikan Wan Saiful dipertikai rakan PH?





SHAH ALAM - Pelantikan Pakar Strategi Bersatu Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya dibuat melalui Dewan Rakyat.

Memetik laporan Free Malaysia Today, pemimpin veteran DAP Dr Boo Cheng Hau berkata pelantikan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun seperti PTPTN perlu diteliti terlebih dahulu dan dibuat secara telus bagi menyekat kronisme dan rasuah.

Menurutnya, beliau menghormati kebolehan Wan Saiful kerana kelayakannya tidak diragui, tetapi (pelantikan itu) boleh memberi gambaran campur tangan eksekutif.

"Saya menolak campur tangan eksekutif, dan kebolehan harus mengatasi kepentingan politik.

"Lantikan politik ke jawatan utama mestilah diteliti terlebih dahulu oleh orang awam melalui prosedur rasmi, terutamanya oleh jawatankuasa tetap Parlimen, " katanya.

Beliau berkata, GLC dan badan berkanun juga perlu berjalan secara bebas tanpa kaitan dengan parti atau tokoh politik, selain tertakluk kepada undang-undang dan prosedur bagi menjamin ketelusan serta proses semak dan imbang yang teratur.

Katanya, isu 1MDB merupakan contoh terbaik akan kepentingan jawatan utama badan sedemikian diteliti dengan rapi.

"Sekadar pertukaran kerajaan tidak mencukupi. Kita perlu memperbaharui sistem.

"Jika rakyat melihat pelantikan orang penting dalam GLC dan badan berkanun dibuat dengan telus, itu petanda baik. Tapi jika tidak, ia akan membawa kepada perasaan saling tidak percaya dalam kalangan mereka," katanya.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, mempertahankan pelantikan Wan Saiful dan menolak dakwaan ia merupakan langkah politik.

Katanya, kementerian cuba mendapatkan khidmat beberapa individu lain, terutama mereka yang memiliki latar belakang ekonomi dan kewangan bagi mengisi jawatan tersebut, tetapi ditolak kerana mereka tidak bersedia memikul tanggungjawab berat jawatan berkenaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo