NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen: 'Gengster' Dewan Rakyat buat gamat macam pasar malam


KUALA LUMPUR: Suasana persidangan parlimen hari ini gamat seperti pasar malam apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, KS Ramkarpal Singh mencelah ketika sesi perbahasan usul titah diraja membangkitkan satu insiden beberapa tahun lalu membabitkan Ketua Pemuda Umno yang dakwanya lagak pemuda Umno itu tidak bertamadun seperti gengster menyerang Karpal Singh (mendiang).

Beberapa Ahli Parlimen BN kemudiannya bangkit meminta KS Ramkarpal menarik balik kenyataan tersebut dengan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(4) yang menggariskan adalah menjadi kesalahan bagi ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis.

Berikutan itu berlaku kepada pertikaman lidah antara ahli parlimen pembangkang (BN) dan kerajaan PH apabila masing-masing bertegas enggan beralah menyebabkan sidang terganggu selama hampir sejam.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato' Mohd Rashid Hasnon kemudiannya mengarahkan agar ditarik balik penggunaan perkataan tersebut namun KS Ramkarpal enggan berbuat demikian malah mempertahankan tindakannya dan sanggup dikenakan apa-apa tindakan daripada speaker.

Mengulas situasi itu, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) berkata, keenggangan ahli parlimen PH itu menarik semula perkataan 'gengster'yang digunakannya dalam ucapan hari ini adalah tindakan tidak patuh kepada ruling speaker.

"Satu perkara yang sangat memalukan dan ianya yang paling besar ialah mencabar kredibiliti dan kewibawaan speaker seolah-olah speaker ini boleh dipermainkan.

"Dengan ruling arahan yang dibuat oleh speaker boleh je untuk dipatuhi atau tidak dipatuhi, ini satu mesej yang sangat salah dan sangat tidak beretika bagi seorang ahli parlimen terutamanya ahli parlimen yang mewakili kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Ujarnya lagi, ada kalangan ahli parlimen PAS bangkit untuk mempertahankan speaker dan beliau antaranya bangkit bertindak seperti itu.

Bagaimanapun beliau kecewa apabila ahli parlimen PAS tidak sempat bercakap untuk memberi hujah.

"Pada hemat saya, speaker anggap kita ini bangun untuk membangkang dia padahal kita dengan penuh hormat kita ingin menjaga kemuliaan kerusi speaker supaya speaker tidak boleh dipermainkan dengan sewenang-wenangnya dengan mengingkari arahan daripada speaker.

"Sepatutnya speaker menggunakan peruntukan-peruntukan dewan yang lain apabila ada ahli engkar pada ruling speaker untuk apa-apa tindakan termasuk menghalau keluar ataupun menggantung mana-mana ahli yang engkar kepada ruling kepada speaker," katanya.

Sidang kemudiannya dihentikan pada jam satu oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memberi laluan waktu rehat dan diteruskan semula jam 2.00 petang tadi. - HARAKAHDAILY 18/7/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo