KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hari ini sebulat suara memutuskan pemilihan parti bagi peringkat negeri dan pusat akan diadakan serentak pada hari yang sama pada Oktober depan.
Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata keputusan itu diambil atas dasar keprihatinan parti agar tidak membebankan anggota yang perlu hadir mengundi.
"Sekiranya dibuat berasingan, kira-kira 24,000 perwakilan perlu hadir mengundi dua kali, jadi keputusan ini pasti tidak membebankan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CWC buat kali pertama sebagai presiden parti itu di ibu pejabat MIC, hari ini.
MIC pada Perhimpunan Agung ke-71 tahun lepas meminda Perlembagaan parti yang memberikan kuasa kepada semua perwakilan pada peringkat cawangan untuk memilih pucuk kepemimpinan parti.
Sebelum ini, hanya 1,500 perwakilan dari cawangan meliputi Ketua, Timbalan Ketua, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua sayap parti boleh mengundi kepemimpinan tertinggi MIC.
Dalam pada itu, Vigneswaran berkata antara intipati mesyuarat yang dibincangkan hari ini adalah bagi mengembalikan era perjuangan telus MIC pada tahun 1960-an.
"MIC berharap untuk bekerja kuat berlandaskan perjuangan pada ketika itu, dan beriltizam untuk mengukuhkan pengurusan parti agar terus kekal relevan dalam kalangan masyarakat India," katanya. – BERNAMA
No comments
Post a Comment