Oleh Siti Fatimah Ishak
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa sidang Dewan Rakyat mengusulkan pendirian Malaysia mengenai situasi di Gaza, Kashmir dan keadaan pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, persidangan yang sedang berlangsung ketika ini perlu memberi laluan khas bagi membincangkan isu masalah umat Islam antarabangsa,
Katanya, Malaysia sepatutnya mengambil inisiatif menyelesaikan isu berkenaan, termasuk meluluskan resolusi untuk dihantar kepada agensi antarabangsa berkaitan.
Meluahkan kesedihan katanya, dalam tempoh dua bulan lebih 140 rakyat Palestin mati dan lebih 16,000 cedera ditembak di Gaza oleh tentera pengganas Israel, hanya kerana mereka bangkit untuk kembali ke tanah mereka yang dijamin dibawah Resolusi 142 PBB.
"Mereka ditembak dengan brutal oleh tentera kejam regim Israel. Yang terbunuh termasuk kanak-kanak, remaja, wanita, warga tua, jurnalis dan pekerja bantuan perubatan. Kini serangan udara dan pengeboman paling sengit sejak serangan 2014 lalu sedang dilancar tentera penceroboh Israel ke atas Gaza.
"Paling parah ialah rakyat biasa menjadi mangsa walaupun Israel mendakwa serangan disasar kepada lokasi pejuang Hamas. Hakikatnya sejak 2007 kepungan haram Israel ke atas Gaza dikuatkuasakan, rakyat Palestin di Gaza menderita akibat terputus makanan, ubatan, bekalan air bersih dan elektrik, prasarana pendidikan dan kesihatan," katanya.
Bukan sahaja di Gaza, keadaan di Jammu Kashmir juga sangat meruncing bila pembunuhan berleluasa terhadap orang awam Kashmir oleh tentera India.
Katanya, berita mengenai mereka jarang tersiar mendedahkan operasi menangkap, menyiksa dan membunuh rakyat Kashmir jauh lebih teruk dari apa yang berlaku di Palestin.
"Laporan mengenai penafian hak dan operasi genosid oleh tentera India sangat berleluasa berlaku di Kashmir. Pembunuhan tanpa pembicaraan berlaku dengan sangat kerap dan tidak ada bantahan antarabangsa disuarakan," katanya.
Lebih malang Azmi berkata, pelarian Rohingya yang merupakan etnik Islam di Myanmar turut menjadi mengsa kekejaman rejim tentera negara itu.
Katanya, bayangkan 1.3 juta pelarian Rohingya di Bangladesh dan lebih 200,000 ribu di kem IDP di Arakan berada dalam keadaan hidup atau mati.
"Mereka bertarung hidup dalam keadaan sangat daif di kem-kem pelarian tanpa perlindungan, tanpa makanan dan rawatan kesihatan yang mencukupi. Hampir separuh dari pelarian Rohingya di luar dan di dalam Myanmar adalah kanak-kanak.
"Genosid dan pembersihan etnik maseh terus berlaku di Myanmar. Situasi kemanusiaan di kem perlarian semada di Bangladesh mahupun Myanmar amat menyedihkan. Bencana musim monsoon baru-baru ini telah memusnahkan ribuan khemah perlindungan pelarian Rohingya," katanya.
No comments
Post a Comment