PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pelaksanaan undang-undang ‘Jewish nation-state’ oleh Parlimen Israel pada 19 Julai.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa Malaysia menggesa komuniti antarabangsa agar mengambil tindakan segera meminta Israel membatalkan undang-undang dan dasar kejam dan perkauman itu.
“Tindakan Israel akan hanya menyulitkan dan mengganggu usaha ke arah mencapai keadilan dan penyelesaian jitu terhadap konflik Palestin,” menurut kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, undang-undang itu yang mendapat 60 undi sokong dan 55 undi menolak, mendakwa bahawa tanah Israel itu sebagai tanahair bersejarah bagi orang Yahudi dan berhak melaksana penetapan sendiri untuk penduduknya.
Undang-undang itu juga mengisytihar Hebrew sebagai bahasa rasmi dan merendahkan bahasa Arab hanya untuk “status tertentu”, menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menyatakan di bawah undang-undang itu, Israel menganggap pembangunan bagi penempatan Yahudi sebagai satu nilai kebangsaan dan akan bertindak untuk menggalak dan mempromosi penubuhan dan penyatuannya.
Menurut kenyataan Wisma Putra lagi, Malaysia terus kekal menyokong hak-hak masyarakat Palestin untuk sebuah negara Palestin yang bebas dengan merealisasi penyelesaian dua-Negara berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan ketetapan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin. – BERNAMA
No comments
Post a Comment