Anggota Parlimen diperuntukkan sejam setengah untuk berehat dan makan tengah hari semasa sidang Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, ini tidak mencukupi sehingga menyaksikan sidang pada sebelah petang terpaksa ditangguhkan selama lima minit apabila wakil rakyat daripada pihak kerajaan gagal memenuhi kuorum minimum 26 anggota.
Apabila loceng dibunyikan menandakan berakhirnya waktu rehat dan makan tengah hari, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md Yusof masuk ke dewan dan meminta Datuk Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) untuk menyambung perbahasannya.
Walau bagaimanapun, Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) kemudian menyoal speaker sama ada kuorum untuk Dewan Rakyat telah dipenuhi.
Beliau memetik Peraturan Mesyuarat berhubung perkara tersebut.
"Malah menteri dan timbalan menteri juga belum masuk," katanya.
Situasi itu menyebabkan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) secara berseloroh mengingatkan penyokong kerajaan tentang kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
"Apalah... baru perdana menteri tegur semalam," katanya.
Ini mendorong sekretariat parlimen untuk membunyikan loceng sekali lagi, sebelum cukup anggota Parlimen mula masuk semula bagi membolehkan sidang diteruskan.
No comments
Post a Comment