SAYA amat mengharapkan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Pakatan Harapan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed dapat melindungi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik daripada perancangan jahat ultra kiasu yang pro Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Saudara pembaca kolum saya dalam ismaweb.net, mungkin tidak lupa akan artikel saya bertarikh 21 Mei 2018 lalu, bertajuk "Islam lebih bahaya daripada LTTE, Komunis dan Evangelis".
Tidak ramai yang mengetahui apa itu kumpulan pengganas LTTE dan gerakan bawah tanah yang sangat berbahaya yang sudah merebak ke negara kita. Pihak keselamatan mesti memantaunya secara serius seperti saranan Mufti Perlis, DR Maza.
Pengikutnya semakin ramai di negara lain, meskipun ia telah diharamkan di Sri Lanka. Sebab itu, kita jangan terlalu bersangka baik.
Selama ini, bagi tidak menampakkan LTTE ini aktif di Malaysia, mereka menyasarkan Zakir Naik kerana pendakwah Islam itu adalah ancaman kepada pergerakan mereka ini. Pernah saya berkata:
"Ramai lagi dalam kalangan pemimpin PKR dan DAP yang berfahaman komunis dan sosialis yang pro LTTE India dan pro Komunis China serta Kristian Evangelis yang jauh lebih bahaya, kenapa perkara ini tidak pernah menjadi kerisauan? Saya boleh tuding satu persatu, tetapi saya lihat dahulu (Ridhuan Tee, Ismaweb 21.5.18).
Apabila disebut pengganas, musuh-musuh Islam termasuk pemimpin ultra kiasu LTTE Pulau Pinang sering menuding jari kepada al-Qaeda, Taliban, Boko Haram dan IS, serta tidak terkecuali Dr Zakir Naik.
Saya pernah membuat kajian mengenai kumpulan pelampau LTTE ini ketika menjadi pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini, diimbaukan kembali betapa jahatnya LTTE ini yang ditubuhkan pada 5 Mei 1976, di bawah kepemimpinan Velupillai Prabhakaran.
LTTE adalah antara kumpulan pengganas paling ditakuti. Gerakannya tersusun dan berdisiplin. Ini diakui oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Dalam laporannya bertarikh 10 Januari 2008, FBI menyasarkan, LTTE adalah pergerakan pengganas paling bahaya di dunia, melangkaui IS, ISIS, Daesh dan Taliban yang selalu disamakan dengan pengganas dalam kalangan orang Islam. FBI juga mengeluarkan peringatan bahawa LTTE perlu diawasi kerana menjadi ilham kepada rangkaian pengganas seluruh dunia.
LTTE memulakan kempen bersenjatanya di Sri Lanka untuk menuntut wilayah Tamil berasingan pada 1983. LTTE melancarkan perang saudara. LTTE turut terlibat siri pembunuhan berprofil tinggi, termasuk pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada 1993 dan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi, pada 1991.
Pembunuhan Rajiv dilakukan oleh penyerang berani mati. Akhbar The Indian Press melaporkan pembunuhan dilakukan atas arahan Prabhakaran. Rajiv menjadi sasaran kerana menggagalkan usaha dan perjuangan Tamil (LTTE).
Terbukti, apabila Mahkamah India (1998), melalui hakim V Navaneetham memutuskan pemimpin LTTE itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembunuhan Rajiv.
Sri Lanka dahulunya dikenali sebagai Ceylon ketika berada di bawah jajahan British. Negara ini merdeka pada tahun 1948, selepas India pada pada 1945. Nama Ceylon menjadi Sri Lanka pada 1972.
Kontoversi bermula apabila Perdana Menteri ketika itu, Bandaranaike menjadikan bahasa Singhasa sebagai bahasa rasmi. Majoriti Sinhala berada di selatan, manakala kaum Tamil Eelam di utara dan timur. Keturunan Tamil ini berasal dari benua kecil India di bahagian tenggara atau Tamil Nadu.
Keganasan bermula pada Julai 1983 apabila berlaku pemberontakan yang dicetuskan oleh LTTE yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Sri Lanka atas alasan mereka ditindas dan dinafikan hak.
Modus operandi mereka menyasarkan pembunuhan pemimpin berprofil tinggi. Pada tahun 1975 sebelum pembunuhan Rajiv, tindakan pertama mereka dengan pembunuhan datuk bandar Jaffna di utara Sri Lanka, Alfred Duraiappah. Pada 1977 Ahli Parlimen Tamil, M Canagaratnam, dibunuh sendiri oleh Vellupillai Prabhakaran, pemimpin tertinggi LTTE.
Pendek kata, Sri Lanka tidak pernah aman dengan konflik etnik, perang saudara dan siri keganasan yang dicetuskan oleh LTTE. Bagaimanapun, LTTE menerima pukulan hebat dengan terbunuhnya Prabhakaran pada 18 Mei 2009. Bukti-bukti menunjukkan anggaran 70,000 penduduk maut dalam konflik antara LTTE dengan kerajaan Sri Lanka.
Meskipun pemimpin LTTE berjaya dihapuskan, itu tidak bermakna gerakan tersebut sudah mati. Sebenarnya gerakan ini masih mekar dalam kalangan pengikut fanatik mereka yang berada di seluruh dunia. Mereka menunggu masa untuk melancarkan keganasan ke negara lain yang menjadi sasaran. Kumpulan berselindung atas nama hak asasi dan kepakaran akademik.
Saya amat berharap, pihak polis dapat melakukan siasatan terhadap beberapa laporan yang dibuat. Mereka yang ada dikaitkan mesti disiasat hingga ke akar umbi, terutama dalam parti ultra kiasu. Ultra kiasu ini jugalah yang melabelkan saya sebagai 'bigot' dalam kenyataannya bertarikh 7 Ogos 2017, kerana menyangkakan saya yang menulis bahawa parti dianggotainya sebagai anti-Islam. Sedangkan tidak.
Dengan ini saya amat bersetuju dengan saranan Mufti Perlis, yang menyeru pihak berkuasa menyiasat ultra kiasu ini yang dikaitkan dengan LTTE. Hanya pengganas sebenar menuduh orang lain sebagai pengganas.
Alasan beliau setelah berita ini menjadi viral amat tidak munasabah. Beliau berkata Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE bukanlah sebahagian daripada kumpulan pemberontak, yang menjadi dalang di sebalik perang saudara yang berlangsung puluhan tahun di Sri Lanka yang menyebabkan ratusan ribu orang terbunuh.
Beliau berkata jawatankuasa itu ditubuhkan oleh kerajaan Sri Lanka selepas perjanjian damai dicapai antara Colombo dan LTTE.
Beliau dijemput untuk menjadi sebahagian jawatankuasa itu, yang terdiri daripada anggota LTTE dan bukan LTTE termasuk ahli akademik dan aktivis dari seluruh dunia, dikenali sebagai Sekretariat untuk Menyelaras Proses Damai (SCOPP).
Siapa yang tidak kenal sosialis ultra kiasu tersebut? Saya telah mengenali beliau sekian lama semenjak bergelar pelajar. Beliau menafikan sama sekali mengenai bukti sekeping foto menunjukkan beliau menyembah lambang AK-47 yang menjadi ritual puak pemberontak LTTE.
Ironinya, kenapa terlibat dalam sembahan ekstrem tersebut? Seseorang yang rasional berpegang kuat kepada amalan Hindu, tidak sama sekali akan melakukan sesuatu perkara yang tidak diingininya.
Sama ada beliau pernah menjadi sebahagian daripada LTTE, dan tidak, menyokong sebarang organisasi pengganas atau pejuang bersenjata, biarlah polis menentukan melalui siasatan yang akan dijalankan.
Saya amat mengharapkan pihak keselamatan tidak hanya melihat kumpulan pengganas dan pelampau ini dalam kalangan orang Islam sahaja. Saya yakin kumpulan Islam yang dilabelkan itu adalah ciptaan musuh-musuh Islam untuk menutup kegiatan keganasan mereka.
Pengganas sebenar sedang berada dalam saf kepemimpin negara yang ada. Maka, lakukanlah penyiasatan secara telus. Kadangkala terfikir juga, apa ke jadahnya membawa sami yang sebegitu pelik rupa ke Parlimen semata-mata untuk menyaksi majlis angkat sumpah. Apakah ketika itu kita masih membiarkan dan menyatakan, biarkanlah. Tidak ada apa-apa.
Sepanjang kajian terhadap agama Islam yang saya anuti buat selama-lamanya ini, Islam tidak akan menjadi pengganas atau mengganas, jika tidak ditekan dan ditindas sedemikian rupa. Ini kerana Islam adalah agama, yang adil dan penuh hikmah.
Hari ini munculnya kumpulan pengganas Islam kerana mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka ditindas, dianiaya, dizalimi dan dibunuh saban hari seperti di Palestin. Dunia tidak pernah berlaku adil kepada umat Islam.
Apakah pada ketika itu umat Islam hanya melihat sahaja kekejaman yang dilakukan tanpa sebarang tindak balas? Saya berpegang kepada prinsip bahawa Islam tidak akan menyerang jika tidak diserang. Tetapi Islam tidak akan menyerang tanpa tentangan.
Benar, Islam tidak disebarkan melalui kekerasan, tetapi melalui hikmah. Tetapi jika Islam terancam, ketika itu, apakah kita harus berdiam diri?
Apakah yang akan bakal mendatang nanti, jika kita masih dalam sindrom penafian, kealpaan yang tidak boleh dilupai. Meskipun pelbagai peringatan telah diberikan. Apakan daya yang menerima impaknya nanti adalah rakyat marhaen. Justeru, langkah pencegahan amat penting sebelum berlakunya apa yang tidak diingini nanti.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
No comments
Post a Comment