SAYA tidak mengenali kumpulan ini dengan mendalam. Saya cuma menukilkan maklumat dari Tuan Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid berkenaan kumpulan ini dari dapatan beliau:
1. Isteri salah seorang pemain guitar kumpulan itu, Jonny Greenwood adalah artis kelahiran Israel bernama Sharona Katan.
2. Ramai tokoh yang terlibat dalam industri seni dan musik menyeru kepada pemboikotan Israel dalam bidang seni dan budaya.
3. Menurut surat terbuka dari beberapa pemuzik Israel kepada Radiohead: "Setiap artis antarabangsa yang membuat persembahan di Israel akan menjadi alat propaganda kepada kerajaan Israel.
Persembahan-persembahan antarabangsa di Israel dapat melaksanakan agenda kerajaan (Israel) untuk mensucikan jenayah perangnya terhadap rakyat Palestin dengan mengujudkan suasana 'busines seperti biasa' yang di dalamnya status quo, realiti penjajahan dan pendudukan ketenteraan kepada rakyat Palestin, menjadi satu tindakan yang dinormalisasikan."
4. Telah membuat persembahan di Israel sebanyak 8 kali dalam masa 20 tahun.
5. Radiohead sangat terhutang budi kepada Israel kerana melonjakkan nama kumpulan mereka bermula penghujung tahun1992 (kerana lagu single mereka tidak mendapat tempat di Amerika mahupun di England.
6. Radiohead adalah satu kumpulan muzik yang membawa tema-tema politik ekstrim berhaluan kiri di dalam lagu-lagu mereka.
7. Ketua kumpulan Radiohead Thom Yorke melenting (termasuk menunjukkan jari tengahnya) apabila terdapat beberapa penonton yang menjulang bendera Palestin di sebuah konsert TRSNMRfest mereka di Glasgow, Scotland pada bulan Julai, 2017.
Sekiranya kita masih ingin meneruskan, beberapa garis panduan haruslah diikuti:
1. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membincangkan mengenai Hukum Nasyid dan Pancaragam. Muzakarah telah memutuskan: "nyanyian yang didendangkan mestilah mempunyai senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat."
2. Muzakarah juga menetapkan supaya tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dengan perempuan. Pergaulan yang tidak terbatas dicegah bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar berlaku.
3. Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah mengeluarkan fatwa mengenai pemakaian alat-alat muzik yang bersifat tradisi atau moden. Minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa No. 5/93 bertarikh 30 Januari 1993 telah merumuskan antaranya majlis tersebut: "tidak disertai perkara-perkara yang haram seperti arak, judi, wanita yang menari serta perkara kefasikan dan tidak melalaikan dari kewajipan-kewajipan khusus, kewajipan agama seperti solat.
4. Pada 19 April 2011, Jabatan Mufti Perlis telah mengeluarkan Garis Panduan Acara Persembahan, Konsert dan Hiburan antara lain menegaskan pihak penganjur: "Hendaklah menjemput artis yang berimej baik dan membawa mesej pendidikan kepada masyarakat."
5. Dalam garis panduan karnival dan hiburan yang keluarkan oleh Mufti Perak pada 16 Jun 2008, Tan Sri Harussani mengingatkan: "Penggiat seni Muslim supaya membentuk industri perniagaan dan hiburan yang tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang menurut acuan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW."
Diharapkan agar garis panduan ini dapat menjadi panduan buat kita semua.
Moga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/07/19/konsert-radiohead-dan-garis-panduan-fatwa-2/
Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/07/19/konsert-radiohead-dan-garis-panduan-fatwa-2/
No comments
Post a Comment