Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, difahamkan mendapat sokongan kuat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk disandarkan jawatan Speaker Dewan Rakyat penggal ke-14, lapor Agenda Daily.
Menurut portal berita berkenaan, keputusan dibuat pada mesyuarat PH di Yayasan Kepimpinan Perdana malam tadi yang dihadiri oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, Presiden PAN, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden PPBM. Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pada mesyuarat tersebut, setiap parti mengemukakan calon masing-masing.
Difahamkan PPBM mencalonkan bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan yang menyertai PPBM, Tan Sri Dr Rais Yatim, namun, ianya bertentangan dengan keputusan PH yang mahukan speaker terdiri dalam kalangan ahli parlimen.
Tambahan lagi, PPBM yang memenangi 13 kerusi parlimen pada PRU14 lalu diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri didalam barisan kabinet Dr Mahathir.
Lantaran itu, jawatan speaker selayaknya diberikan kepada DAP atau PKR yang memenangi lebih banyak jumlah kerusi.
Kit Siang yang berkelulusan undang-undang dari Lincon's Inn England pada tahun 1977, tokoh paling senior PH tidak memegang apa-apa jawatan didalam kerajaan setakat ini.
Dipetik Bernama, veteran DAP itu berkata beliau menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan PH samaada mahukan dirinya sebagai Speaker Dewan Rakyat ataupun sebaliknya.
Katanya, jawatan tersebut tidak penting kerana keutamaan baginya adalah khidmat kepada negara dan rakyat menerusi kerajaan PH.
Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan keputusan bagi jawatan berkenaan akan dimuktamadkan sebelum Sidang Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.
No comments
Post a Comment