DI SEBALIK idealisme dan retorik integriti yang dicanangkan oleh pemimpin dan pengikut Pakatan Harapan (PH) sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ada satu realiti yang perlu dihadapi.
Inilah realiti cabaran kehidupan sebenar yang bukan semuanya hitam dan putih tetapi banyak yang kelabu, malah ada yang diputihkan kerana terpaksa.
Satu janji yang disebut-sebut dulu ialah menghentikan segala "amalan UMNO" meletakkan lantikan politik di posisi-posisi dalam agensi atau GLC.
Sekarang PH telah melantik beberapa orang yang bukan setakat mempunyai hubungan politik, tetapi dari kalangan ahli parti mereka sendiri.
Contohnya, Wan Saiful Wan Jan dilantik mengepalai PTPTN dan Suhaizan Kayat dilantik sebagai speaker di Johor.
Wan Saiful yang tewas dalam pilihan raya lalu tetap diselamatkan dengan diberikan tempat, seperti juga Suhaizan yang gagal menjadi wakil rakyat dalam Dewan.
Memang tidak salah Suhaizan dilantik sebagai speaker tetapi berdasarkan kelayakan mereka yang ada dalam Dewan, tidak ada keperluan beliau dibawa masuk.
Jelas apa yang berlaku di sini ialah mereka memberikan tempat kepada rakan-rakan, supaya mereka tidak tenggelam dan mendapat sumber pendapatan.
Mungkin faktor kesian memainkan peranan di sini, apabila rakan-rakan yang kalah diberikan posisi tinggi supaya kekal di depan.
Inilah cabaran kehidupan seharian yang terpaksa dihadapi oleh PH, apabila menyedari rakan-rakan mereka itu memerlukan tempat untuk meneruskan kareer politik atau sekadar meneruskan kehidupan.
Ini samalah juga dengan amalan biasa dalam politik, membalas jasa kepada mereka yang menyumbang kepada parti.
Inilah yang mereka sebut sebagai "dedak" selama ini, yang datang dalam pelbagai bentuk dan salah satunya dalam bentuk jawatan.
Tetapi hari ini selepas PRU14, retorik yang mereka laungkan dulu terpaksa disenyapkan atau ditangguh dahulu, kerana ada isu "perut" yang perlu dipenuhi.
Kalau berdasarkan faktor kelayakan dan pengalaman, menguruskan sebuah organisasi, ketelusan dan integriti, pasti mereka tidak menjadi pilihan pertama.
Kes Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan melantik budak-budaknya sebagai pegawai khas juga menunjukkan isu yang sama, yakni memberikan kerja kepada rakan dan pengikut.
Pelbagai alasan mereka boleh berikan seperti tidak ada orang lain yang sedia memikul tugas tersebut dan sebagainya.
Tetapi hakikatnya ialah lantikan itu tetap langkah politik, dan pelantikan dibuat berdasarkan merit politik. – Mynewshub.tv
No comments
Post a Comment