NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet penuh: Dah diberi betis, ultra kiasu nak peha



Oleh Athirah Huda Zalhe


BANGI, 19 Syawal 1439H, Selasa – Penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan sikap golongan ultra kiasu yang mempertikaikan dan mempersoalkan pelantikan barisan Kabinet baharu kerajaan, seperti 'kaduk naik junjung'.

Beliau berkata, pelantikan barisan Kabinet semalam dilihat jauh lebih adil berbanding kerajaan terdahulu, dengan mengambil kira formula populasi penduduk di negara ini, di mana majoritinya Melayu Bumiputera.

Ridhuan Tee berkata, tempoh panjang yang diambil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melengkapkan barisan Kabinet kerajaannya itu, sudah pasti telah mempertimbangkan dan berfikir sedalamnya demi kepentingan rakyat serta negara.

"Cuba tanya PM kenapa beberapa calon ultra kiasu yang dikemukakan tidak terpilih. Saya jawab mudah, mereka terlalu rasis, langsung tidak faham cara hidup dan sensitiviti orang Melayu.

"Apabila barisan Kabinet diumumkan, orang lain tidak bising. Tidak semena-mena pemuda ultra kiasu seperti cacing kepanasan. Tidak perlulah pemuda ultra kiasu bising. Dah diberi betis nak peha," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika merujuk semula ucapan dan kenyataan beberapa pemimpin ultra kiasu yang dikemukakan sebagai anggota Kabinet, ternyata ianya bahaya dalam politik negara.

"Begitu juga, cuba teliti ucapan bagaimana ultra kiasu tersebut mengutuk PM dalam bahasa Cina sebelum kempen PRU14.

"Saya yang Cina pun tidak boleh terima. Apabila ditularkan ucapan tersebut, masih tidak ada lagi rasa bersalah ultra kiasu ini," katanya.

Beliau berkata, tidak bermaksud ultra kiasu memperoleh kerusi kedua terbanyak, maka pemimpin mereka perlu dilantik seramai mungkin dalam Kabinet.

Sebaliknya jelas beliau, jika dicampurkan keseluruhan kerusi Melayu termasuk yang dimenangi PAS, UMNO dan Warisan jelas menunjukkan hakikat sebenar wakil kerusi Kabinet kerajaan.

"Jika formula ini tidak faham, tidak perlulah komen lebih-lebih. Komen ini hanya akan menyakiti hati Melayu. Ingat, Melayu sudah terlalu banyak sangat terluka dengan sifat ultra kiasu parti ini.

"Memberikan jawatan Menteri Kewangan kepada ultra kiasu adalah satu anugerah yang sangat besar ertinya. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, kecuali selepas negara mencapai kemerdekaan 1957-1959 kepada Lee Hau Shik (HS Lee), dan ketika 1959-1974, kepada Tan Siew Sin.

"Bayangkan besarnya kepercayaan Melayu kepada orang Cina menjaga kewangan negara. Masih tidak bersyukur lagi?," katanya.

Ridhuan Tee berkata, barisan Kabinet sudah mencerminkan wajah sebenar landskap politik negara, mewakili 68 peratus Bumiputera dan 32 peratus bukan Bumiputera.

Katanya, daripada 49 jemaah menteri dan timbalan, 31 daripada mereka adalah Melayu dan 18 lagi merupakan bukan Melayu.

"Bumiputera mewakili 17 daripada 27 Menteri. 15 daripada 23 Timbalan Menteri. Jika diperincikan mengikut pecahan bangsa, Cina, lima Menteri dan tujuh Timbalan; India dua Menteri, satu Timbalan diikuti, seorang Menteri Singh (India), seorang Dayak dan seorang Kadazan (bumiputera).

"Barisan Kabinet ini jauh lebih 'adil' daripada Kabinet terdahulu. Bersyukurlah dengan nikmat ini sebelum ia ditarik balik. Jika terlalu ultra kiasu, tidak mustahil nikmat ini ditarik balik," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/07/03/kabinet-penuh-dah-diberi-betis-ultra-kiasu-nak-peha/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo