NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Institusi Parlimen pasca Malaysia baharu


Oleh: Muzzammil Ismail
26 Julai 2018 12:00 PM

SEKALIAN rakyat teruja mengikuti sidang Parlimen penggal ke-14 dengan nafas perubahan dan semangat baharu. Namun di hari mengangkat sumpah ahli Parlimen dan hari pertama bersidang, sidang Parlimen sedikit mengecewakan dengan kelakuan ahli Parlimen yang keluar dewan, perbahasan dan pencelahan yang penuh dengan emosi.
Rakyat menyaksikan taraf dan mutu wakil rakyat yang bersidang masih di tahap rendah seperti menyaksikan perbalahan dan penghujahan tentera siber dalam media sosial. Majoriti rakyat telah berani membuat perubahan namun sepertinya ahli Parlimen masih ada yang belum berubah.

Perlu diketahui Parlimen adalah dewan mulia tempat menggubal undang-undang dan membincang segala masalah rakyat. Perjalanannya penuh dengan tertib. Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakan isu-isu remeh yang berlanjutan berjam-jam lamanya hanya bertelagah isu perkataan "gangster".

Di sini kredibiliti dan ketegasan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta bentara-bentara Dewan Rakyat perlu memain peranan berkesan, untuk mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan lancar tanpa sebarang kecelaruan dan provokasi daripada mana-mana ahli Parlimen yang gagal mematuhi etika dan peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membuat keputusan tegas dan memberi tafsiran secara jelas mengenai peraturan-peraturan mesyuarat sekiranya berlaku perkara-perkara berbangkit. Dewan perlu menjadi tempat yang mulia dan bukannya dewan seperti dewan makan atau pasar borong.

Parlimen adalah platform rasmi terpenting di mana tempat undang-undang boleh dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai memperjuangkan nasib rakyat di era baharu dalam mendaulatkan agama, agenda rakyat dan negara.

Tanggungjawab ahli Parlimen bukan hanya menghadiri sidang Parlimen semata-mata. Setiap ahli Parlimen perlu membuat persiapan awal dan menambahkan pembacaan sampingan bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai intipati yang signifikan dan bernas.

Seperkara lain, kegagalan mana-mana ahli dewan membahas dalam bahasa kebangsaan juga adalah suatu pelanggaran peraturan Dewan Rakyat. Di Parlimen, jika ahli Parlimen mahu berucap dalam bahasa Inggeris mereka perlu meminta kebenaran Yang Dipertua Dewan.

Sebaiknya, semua ahli Parlimen wajib menguasai bahasa kebangsaan dan tidak berbahas menggunakan bahasa rojak. Tergugat kedaulatan bahasa kita. Rakyat sedang menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih setelah belasan ribu ringgit gaji dan elaun serta keistimewaan diperoleh melalui pembayar cukai Malaysia.

Selain berkenaan profesionalisme ahli Parlimen, kod etika dan protokol hadirin yang mengunjungi Parlimen juga perlu dilihat secara serius terutama daripada kala­ngan penyokong atau pengiring ahli Parlimen.

Misalnya, semasa berada di dalam dewan semua pihak harus sentiasa bersopan, tidak dibenarkan membelakangkan posisi Yang Dipertua Dewan, dan tunduk hormat ketika hendak masuk dan keluar. Itu adalah peraturan asas bagi semua.

Malangnya ada gelagat daripada pengunjung yang kurang beradab atau tidak memahami peraturan Parlimen. Untuk itu pegawai-pegawai dewan perlu menjalankan tugas dengan menegur kesilapan-kesilapan sebegini.

Tuntasnya, ahli Parlimen perlu menunjukkan ketinggian nilai adab dalam perbahasan dan perlu tahu bila hendak berhenti 'berpolemik' serta mula fokus untuk bekerja. Pihak kerajaan dan pembangkang wajib mencari titik persamaan, bekerjasama untuk kesejahte­raan rakyat seperti mana amalan demokrasi berparlimen di negara maju lain. Suarakan cadangan, teguran secara berhemah, bertatasusila supaya institusi Parlimen dihormati.

PENULIS ialah Felo Akademik Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Durham University, United Kingdom.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo