SUNGAI PETANI: Pandangan terhadap hukum agama pada masa kini jelas dicemari dengan khilaf yang dilontar secara berleluasa berdasarkan pandangan masing-masing tanpa mempedulikan hujah ulama.
Perkara itu seterusnya menimbulkan kekeliruan dan kesangsian dalam masyarakat sehingga berlakunya perbalahan dalam menyelesaikan isu berkaitan hukum agama.
Tuan Guru Maahad Darul Muhajirin Narathiwat, Baba Ismail Sepanjang, berkata khilaf yang membawa maksud perselisihan sebenarnya bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan alim masa kini, bahkan ulama sebelum ini.
"Khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama adalah satu rahmat kerana mereka golongan yang memerhati sesuatu perkara untuk mengetahui perkara lain yang sejenis.
"Umat Islam seharusnya perlu jelas dan mengenali ulama sebenar, iaitu golongan mujtahid mutlak yang mempunyai martabat dan mereka ini sudah pun tiada lagi selepas 300 tahun hijrah," katanya pada Kuliah Dhuha: Merungkai Khilaf Akhir Zaman di Karnival Darul Murtadha, Kompleks Dakwah Darul Murtadha, Kampung Teluk Sungai Layar di sini.
Baba Ismail yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni, berkata setiap khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama berdasarkan ijtihad, iaitu suatu proses penyelidikan yang serius dan dilakukan secara bersungguh-sungguh mengikut hujah serta sebab tertentu.
"Pandangan diberikan melalui pendapat sendiri hanya menimbulkan rasa ujub kerana siapalah kita dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya untuk memberi pandangan dan ia tidak boleh dipakai," katanya.
Rujuk kitab ulama
Beliau berkata, umat Islam perlu merujuk kitab ulama yang berpandukan al-Quran dan hadis sekiranya timbul masalah ketika dunia berdepan dengan arus pembangunan.
"Pada zaman ini, kita berdepan dengan pelbagai isu baharu yang sebelum ini tidak berlaku, tetapi setiap isu atau permasalahan yang timbul tidak pernah sunyi daripada kaedah yang ditinggalkan oleh ulama.
"Maka penyelesaian perlu masuk semula ke dalam kaedah yang ditinggalkan oleh ulama dengan huraian yang terkandung dalam al-Quran dan hadis," katanya.
Beliau berkata, orang yang beriman adalah mereka yang berpegang teguh pada al-Quran dan hadis yang memberi keselamatan di dunia dan akhirat.
Baba Ismail berkata, setiap jawapan bagi persoalan yang timbul hari ini perlulah dibahaskan mengikut keterangan daripada beberapa ulama, biarpun mempunyai khilaf dalam kalangan ulama sendiri.
"Sebagai contoh, kita membina keterangan melalui mazhab kita, iaitu Mazhab Shafie, kemudian menerangkan mengikut mazhab lain seperti mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi," katanya.
Beliau berkata, golongan guru ialah imam kepada makmum, manakala setiap makmum yang diimamkan perlu diraikan dengan mengikut mazhab yang diikuti oleh makmumnya.
"Biarpun guru itu adalah daripada mazhab berbeza dengan muridnya atau orang yang mengikuti pengajiannya, guru perlu mendahulukan keterangan mengikut mazhab yang diikuti oleh pengikut," katanya.
Katanya, zaman dahulu umat Nabi Muhammad SAW boleh dengar sendiri ucapan Baginda dengan tiada perantaraan berbanding zaman kini yang begitu jauh jaraknya.
"Ketika al-Quran diturunkan dan Rasulullah masih ada, kita masih belum ada, bererti kita tidak mendengar suara Baginda sendiri dan tidak melihat perbuatannya, sebaliknya kita memperolehnya melalui khabar turun-temurun.
"Oleh itu, kita jangan kata ulama tidak perlu diikuti kerana pandangan itu adalah salah kerana kita tidak boleh mendapat jawapan mengenai hukum agama sekiranya tidak melalui kitab ditinggalkan oleh ulama.
"Kita bersyukur biarpun melalui perantaraan itu, hati kita dibuka untuk meyakini apa yang disampaikan dalam al-Quran," katanya.
Baba Ismail berkata, al-Quran pernah dihina pada zaman Nabi SAW dengan mengatakan ia adalah dusta dan sihir, walhal ia mukjizat kerana mereka tidak mengenali al-Quran.
Tuntut ilmu, belajar al-Quran
"Oleh itu, umat Islam wajib dan dituntut mencari ilmu dengan mempelajari al-Quran untuk mengenali dan mengetahuinya kerana mustahil secara adatnya untuk seseorang mengenali kitab suci tanpa ilmu.
Katanya, umat Islam hari ini begitu mudah mendapatkan ilmu berbanding umat zaman dahulu yang sanggup belayar ke negara lain semata-mata untuk menuntutnya.
"Bagaimanapun, kita terlalu banyak alasan seperti tidak sempat atau tiada masa biarpun ilmu mudah diperoleh di tempat sendiri berbanding orang zaman dahulu.
"Apabila sudah terlalu banyak dan mudah dapat, mereka seakan-akan jemu dan ia berbeza kalau perkara yang tiada di tempat sendiri hingga sanggup mencari walaupun jauh," katanya.
Baba Ismail turut mengingatkan jemaah supaya jangan meninggalkan ilmu, terutama agama kerana ia menjadi penyelamat bagi umat Islam di dunia dan akhirat dengan mengawasi serta menjaga diri mereka.
Beliau turut menyentuh ciri ulama warosatul-anbiya atau pewaris nabi, iaitu bersifat ikhlas, tidak kerana keduniaan, mempunyai hati yang bersih dan tabah menghadapi cabaran dalam menyebarkan agama Islam.
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/444207/hukum-agama-ikut-pendapat-sendiri-kelirukan-masyarakat
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/444207/hukum-agama-ikut-pendapat-sendiri-kelirukan-masyarakat
No comments
Post a Comment