NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FamaFest 2018: Makanan Popular Tarikan Utama

GOPENG – Nasi ganja Perak, kuih tradisional kuba guling Kelantan, kacang pool Johor dan cendol Pulau Pinang adalah antara makanan popular yang menjadi tarikan utama program Fruit, Flower and Food Fiesta (FamaFest) 2018 pada 26 hingga 30 Julai ini.

Timbalan Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Idris Tahir berkata pelbagai pengisian diatur pada program lima hari itu termasuk jualan, pameran dan sukan rakyat serta 25 kiosk makanan popular, yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini.

Katanya program itu dijangka dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pada 10 pagi 28 Julai ini manakala Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu akan melawat program tersebut pada keesokannya.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan 260,000 pengunjung akan hadir pada program itu susulan sambutan yang menggalakkan pada tahun lepas dengan kehadiran lebih 220,000 pengunjung.

“Selain itu, jualan di FamaFest tahun ini juga dijangka meningkat kepada RM2.20 juta berbanding RM2.05 juta tahun lalu,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di RTC Gopeng di sini hari ini.

Idris berkata FamaFest kali ini membawakan 6,000 produk usahawan, 5,000 spesis orkid dan 10 metrik tan buah-buahan tempatan untuk jualan, selaras objektif program bagi membantu usahawan, petani dan pengeluar makanan memasarkan produk mereka.

“Buah-buahan bermusim seperti durian, manggis dan cempedak akan dijual pada kadar lima hingga 20 peratus lebih murah,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo