MERUDUM… Gagal tunai ‘janji manis’ kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) konon rakyat bakal saksi harga barang turun, apa yang berlaku pula adalah sebaliknya malah jauh lebih buruk lagi.
Terbaharu, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan kerugian lebih RM12 bilion akhir bulan lalu dan kadar mata wang ringgit cecah paras terendah sejak 1998, Bursa Malaysia juga tidak ketinggalan apabila merudum teruk.
Berita buruk itu dilaporkan media antarabangsa kelmarin yang mendedahkan dagangan tujuh hari bekerja minggu lalu berakhir 6 Julai lepas mencatatkan rekod baharu dalam sejarah iaitu jatuh untuk 10 minggu berturut-turut.
Sebelum ini rekod kejatuhan paling lama cuma 21 hari iaitu pada September 2015. Indeks komposit petunjuk utama KLCI FBM juga hampiri paras terendah yang pernah dicatatkan sejak kali terakhir sekitar Februari 2017 lepas.
Kali ini pelabur asing didapati mengurangkan ekuiti mereka di Bursa Malaysia selama 10 minggu sejak berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu apabila Barisan Nasional (BN) kalah setelah berkuasa 61 tahun.
Firma penyelidikan sekuriti tempatan MIDF Research dalam nota mingguannya di ibu negara berkata, pegangan dana asing mengalir keluar sebanyak RM704.3 juta minggu lalu berbanding RM705.4 juta minggu sebelumnya.
Ini bermakna secara kumulatif, pelabur antarabangsa sudah pun bawa keluar RM7.53 bilion untuk setakat tahun ini yang meliputi kira-kira 75 peratus daripada kemasukan dana luar negara sebanyak RM10.33 bilion pada tahun lalu.
“Secara umum, Malaysia mencatatkan aliran keluar dana yang kedua tertinggi di bursa rantau ASEAN selepas Filipina yang dipantau penganalisis ekonomi berdasarkan kiraan tahun-ke-tarikh semasa,” jelas MIDF Research.
Tambahan pula, purata dagangan harian oleh pelabur asing merekodkan kejatuhan 26 peratus kepada bawah RM1 bilion. Firma kajian itu mendapati pelabur luar kini boleh dianggap sebagai penjual bersih dagangan setiap hari.
Pada Jumaat minggu lepas, pelabur antarabangsa menjual sehingga RMM393.6 juta, rekod harian tertinggi dalam sejarah sejak 21 Jun lalu, tetapi kebetulan ia lebih kepada faktor luaran apabila banyak bursa di Asia juga jatuh.
Bagaimanapun, kejatuhan berterusan di Bursa Malaysia pula lebih kepada sentimen tempatan susulan trend ketidakyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan PH yang lemah berbanding BN selama ini. – Mynewshub.TV
No comments
Post a Comment