oleh: Mohd Harun Makmun
Benarkah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan ditutup oleh kerajaan? Kalaulah khabar angin yang sedang bertiup kencang itu sahih, maka ia merupakan satu lagi petaka kepada bidang penterjemahan, penerbitan dan sastera tanah air.
Benarkah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan ditutup oleh kerajaan? Kalaulah khabar angin yang sedang bertiup kencang itu sahih, maka ia merupakan satu lagi petaka kepada bidang penterjemahan, penerbitan dan sastera tanah air.
Bak sudah jatuh ditimpa tangga, ketiga-tiga bidang yang bertujuan bagi mengintelektualkan bangsa tersebut seperti langsung tidak diendahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sekarang. Sudahlah kerajaan BN sebelum ini menipu rakyat dengan memberikan wang tunai RM250 kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi, walaupun sudah jelas termaktub dalam Bajet 2018 nilai RM250 akan diberikan dalam bentuk baucar untuk pembelian buku sahaja.
Kerajaan yang baru berusia belum 100 hari ini pula khabarnya mahu menutup operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut kerana ia tidak menjana sebarang keuntungan material atau wang ringgit kepada kerajaan sejak kebelakangan ini.
Memang betul industri buku tempatan sedang mengalami dugaan yang maha dahsyat. Namun kebanyakan syarikat buku swasta juga mengalami kerugian dan hampir gulung tikar. Banyak orang kata, “Rakyat Malaysia sekarang tidak lagi membaca buku.”
Memang betul! Namun masakan rakyat Malaysia mahu mengunjungi kedai buku jika bahan bacaan yang dipamerkan di rak tidak menepati cita rasa intelektual mereka. Masakan juga anak-anak kita mahu membaca buku di perpustakaan, jika buku yang ada di situ pun tidak dikemaskinikan malah sudah lapuk.
Inilah namanya faktor pendulum. Kerajaan BN sebelum ini menafikan RM260 juta yang diperuntukkan kepada Baucar Buku (yang kemudian ditukar menjadi Kad Diskaun Siswa 1Malaysia [KADS1M] oleh Datuk Seri Idris Jusoh) berkaitan dengan peruntukan pembelian buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Kata mereka, peruntukan pembelian buku PNM diasingkan daripada peruntukan KADS1M. Namun kalaulah berasingan, bagaimanalah PNM hanya diperuntukkan RM5 juta sahaja untuk pembekalan buku kepada perpustakaan di seluruh negara bagi tahun 2017? Tambah sadis lagi, daripada RM260 juta yang sepatutnya digunakan untuk pembelian buku, penipuan dan ketirisan berlaku hingga mengakibatkan tidak sampai 1 peratus (atau RM2.6 juta) pun yang mengalir masuk untuk pembelian buku oleh pelajar.
Cuba bayangkan kalau RM260 juta diperuntukkan tanpa tiris kepada PNM untuk pembelian buku, penulis sangat meyakini industri buku akan berkembang dengan pesat. Penerbit-penerbit nantinya mempunyai modal pusingan untuk menghasilkan lebih banyak buku berkualiti untuk dibekalkan ke perpustakaan dan selanjutnya diedarkan di kedai-kedai buku.
Barulah nanti masyarakat Malaysia mempunyai keghairahan untuk mengunjungi kedai-kedai buku dan anak-anak kita bersemangat untuk “melepak” di perpustakaan. Analoginya mudah, kita tidak akan pergi ke pasar kalau biasanya ikan dan sayur-sayuran di situ tidak segar.
Itu senario industri buku di Malaysia masa kini yang terkesan impaknya daripada kebebalan kerajaan sebelum ini. Namun harapnya pemimpin HARAPAN yang dianggap teknokrat sekarang ini tidak mengulangi kebebalan pemimpin lalu. Kami amat berharap kerajaan HARAPAN lebih bijak merencanakan perkembangan intelektual rakyat selain menumpukan tentang pembangunan ekonomi dan kes 1MDB.
Akan tetapi, usahlah hanya kerana ITBM tidak memberikan sebarang dividen keuntungan kepada Kementerian Kewangan kebelakangan ini, tindakan drastik dengan menutup operasinya menjadi caturan. Apa yang penulis faham, ITBM merupakan satu-satunya GLC yang bergerak secara “CSR ataupun sosial” berbanding syarikat yang dimiliki kerajaan.
Sungguhpun begitu, Laporan Audit Negara 2011 pernah melaporkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (sebelum bertukar menjadi ITBM pada 2012) antara 10 syarikat (termasuk Petronas, Perbadanan Nasional Berhad, dan Amanah Raya Berhad) yang membayar dividen sepanjang tiga tahun operasinya (2008 – 2010).
Bertindih tugas dengan DBP?
Selepas ITNM dinaik taraf menjadi ITBM pada 2012, memang banyak pihak bersuara mempertikaikan fungsi ITBM yang bertindih dengan apa yang sepatutnya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya dalam perkara berkaitan sastera dan penerbitan buku. Memang betul bertindih.
Sungguhpun begitu, Malaysia masih lagi kekurangan penerbitan buku berkualiti tinggi. Jika mengikut ukuran oleh UNESCO untuk menjadi negara maju, skala penerbitan buku perlu dalam jumlah 0.1 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat. Maksudnya Malaysia perlu menerbitkan lebih kurang 32,000 judul setahun untuk diklasifikasikan sebagai negara maju.
Sekarang negara kita hanya mampu menerbitkan kira-kira 12,000 judul baharu setahun. Masih sangat jauh untuk mencapai jumlah yang sepatutnya dicapai. Daripada 12,000 judul tersebut, hanya lebih kurang 10 peratus sahaja adalah merupakan buku ilmiah.
Sebanyak 80 peratus lagi merupakan buku-buku yang berbentuk pop, pelajaran sekolah dan juga bacaan santai. Maka isu pertindihan tugasan dalam hal penerbitan buku ilmiah merupakan satu “hikmah”, bukannya satu “masalah”.
Malahan sejak ITBM dibenarkan untuk menerbitkan karya asli penulis tempatan (pada 2012), DBP masih lagi bergelumang dengan masalah mencari “kambing hitam” dalam bidang penerbitan. Dahulu, DAWAMA selalu dipersalahkan oleh kakitangan DBP bagi setiap kelewatan penerbitan dan kualiti buku yang tidak optimum. Sekarang, sejak DAWAMA tidak ada lagi pun, isu kelewatan dan kualiti masih lagi timbul. Panel di Forum Memperkasakan DBP pada 10 Julai lalu pun masih mengkritik perkara ini. Maka hadirnya ITBM merupakan platform alternatif dan menjadi sinar kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka.
Hasilnya positif. Bak kata Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron di mana-mana persidangan atau seminar, “Dengan hanya kakitangan seramai 140 orang, ITBM berupaya menerbitkan buku 365 judul terjemahan dan karya asli dalam tempoh setahun. Ibaratnya, satu hari satu judul. Dalam masa yang sama, ITBM turut menterjemahkan kira-kira 35,000 halaman dokumen setahun yang jika dijadikan buku, ibaratnya boleh menerbitkan lagi 175 buku lagi setebal 200 muka surat.”
Impak daripada penerbitan buku ITBM, hadiah sastera di peringkat kebangsaan dan negeri bernafas semula, dan rekodnya buku-buku terbitan ITBM yang paling banyak membolot hadiah sastera tersebut. Malah reruai ITBM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) merupakan reruai yang wajib dikunjungi oleh mana-mana pencinta buku.
Sejak adanya ITBM jugalah banyak penulis, sasterawan dan pelukis (ilustrasi) tempatan ditonjolkan di peringkat antarabangsa. Banyak penulis muda dan sasterawan mapan tempatan (termasuk sasterawan negara) diterbangkan ke pelbagai negara antaranya Frankfurt, Indonesia, London, Venezuela, Shanghai, Tokyo, Iowa dan Singapura bagi menyertai persidangan, pesta buku, pertemuan penulis dan acara sastera dengan menggunakan dana ITBM sepenuhnya.
Pada masa itulah rakyat Malaysia (melalui liputan Buletin Utama TV3) dapat menyaksikan gambar dan petikan kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh dipaparkan di dinding di serata Pesta Buku Frankfurt. Malah rakyat Malaysia turut berbangga apabila melihat Datuk Lat ditemu ramah oleh media Jepun dan tersiar di program televisyen sana.
Adakah semua ini menjana pendapatan kepada ITBM? Oh pastinya tidak sama sekali. Ia merupakan pelaburan yang berbentuk material, namun pulangannya lebih kepada pembangunan dan perkembangan intelektual bangsa – bukannya ROI dalam bentuk RM!
Maka orang pun bertanya, apa untungnya kalau dilaburkan berjuta, tetapi tidak diimbalkan dengan wang ringgit? Jawapannya seperti kata Sasterawan Negara Datuk Baha Zain dalam buku Monolog Kecil: Tahun-tahun Gelora, “Berapa banyak pun jumlahnya tentulah tidak setinggi harga tamadun nasional dan jati diri sebuah bangsa.”
Kemudiannya semua pihak berpuas hati melihat keupayaan ITBM mengepalai delegasi penerbit tempatan di pesta-pesta buku antarabangsa. ITBM adalah agensi yang dipercayai oleh penerbit dan penganjur pesta buku antarabangsa untuk menguruskan kehadiran delegasi penerbit Malaysia ketika negara kita dipilih sebagai negara tamu (guest of honour) di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo, Pesta Buku Antarabangsa Indonesia dan Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mengapa tidak PNM, DBP ataupun Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)?
Mengapa perlu tutup ITBM?
Dalam manifesto HARAPAN, jelas menyatakan perkara untuk membubarkan Biro Tata Negara (BTN). Begitu juga dalam beberapa siri sidang media oleh perdana menteri sendiri yang mengumumkan penutupan beberapa agensi kerajaan seperti Institut Wasatiyyah Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Seranta (FELDA) JPM, Majlis Profesor Negara dan lain-lain kerana semua agensi ini dikatakan terdapat unsur-unsur politik.
Jika penutupan semua agensi tersebut dimuktamadkan atas faktor pengaruh politik, adakah ITBM selama ini dijadikan “kuda tunggangan” bagi ahli politik meluaskan pengaruhnya? Memang benar ada beberapa buku terbitan ITBM memerihalkan tentang perdana menteri, timbalan perdana menteri dan beberapa menteri kabinet kerajaan BN sebelum ini, tetapi apa salahnya kerana memang jelas ITBM merupakan agensi kerajaan yang sepatutnya menguar-uarkan dasar kementerian melalui penerbitan buku.
Memang benar juga Pengerusi ITBM, Budiman Mohd Zohdi pada penggal sebelum ini begitu lantang mencuit wakil rakyat lawan di Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri, tetapi beliau tidak pernah menggunakan ITBM untuk meluaskan ideologinya. Malah semua buku tulisan Budiman tidak pernah diterbitkan oleh ITBM.
Mungkinkah atas faktor kekangan kewangan yang menyebabkan kerajaan mahu menutup operasi ITBM? Jika ya sekalipun, apalah salahnya kalau kerajaan memberikan dana kepada agensi yang terbukti memang betul-betul “membuat kerja” daripada memberikan peruntukan berpuluh-puluh juta setahun kepada agensi dengan bangunan gah setinggi 31 tingkat, tetapi hasilnya acap kali dikritik oleh penggiat sastera, pencinta buku dan pejuang bahasa.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik perlu berhati-hati dengan setiap kenyataannya yang cenderung ke arah DBP. Sewajarnya menteri perlu memberikan satu tugasan kepada DBP dan melihat apakah hasilnya nanti. Kemudian barulah menteri boleh melihat keupayaan DBP sama ada masih “mandul” ataupun sudah berubah. Lihat sajalah Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun, tetapi nampaknya “sendu” sahaja.
Datanglah ke reruai DBP di PBAKL yang nampak seperti “asbol” (asal boleh) sahaja. Untuk mengetahui luar dalam tentang DBP, menteri boleh bertanyakan terus kepada salah seorang pegawai khasnya yang dulunya kerap mengkritik DBP. Melainkan jika pegawai khas tersebut kini beralih sikap seolah-olah mahu “membalas dendam” terhadap DBP yang pekak terhadap setiap kritikannya.
Satu perkara yang perlu ditaakul dalam-dalam oleh pemimpin teknokrat HARAPAN kini, “Untuk meruntuhkan boleh dibuat dalam masa sehari, tetapi mahu membangunkannya bukan boleh dibuat sekelip mata.”
Menteri boleh saja menutup operasi ITBM bila-bila masa, tetapi ingatlah, dalam Singapura boleh mendanai berjuta-juta dolar untuk pembangunan buku dan sastera melalui National Art Council Singapore, dalam Indonesia boleh membelanjakan Rp147 bilion (AS$10.97 juta) untuk menjadi Negara Tamu Pesta Buku Frankfurt 2015 melalui Badan Ekonomi Kreatif (Bekraf), dalam Korea Selatan giat menyebarluaskan karya penulis ke serata dunia melalui Literature Translation Institute of Korea, malulah dan langkah terkebelakanglah kalau Malaysia mahu menutup ITBM yang “terbukti bekerja” dalam bidang penterjemahan, penerbitan dan perkembangan sastera.
Jikalah menteri bertegas juga mahu menutup operasi ITBM, mungkinkah fungsi ITBM akan diambil alih oleh DBP? Jika ya, harapnya menteri bacalah dulu apa yang mantan Ketua Pengarah DBP, allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad tulis dalam buku Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran Hassan Ahmad(DBP: 1988) di halaman 331. Semua masalah yang disenaraikan oleh allahyarham dalam tulisan tersebut telah diatasi sejak wujudnya ITBM.
Sumber: https://m.malaysiakini.com/hiburan/434915
Sumber: https://m.malaysiakini.com/hiburan/434915
No comments
Post a Comment