NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa sebenarnya kerja DBP?


oleh: Izmil Amri

Saya sudah lama geram dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Geram yang saya peram itu dibawa bersama ketika hadir ke forum sulung lembaga itu pasca-Malaysia Baharu. Terlerai belenggu bertahun lama, DBP menghulurkan tengkuknya kepada khalayak. Forum malam itu adalah forum mencari nahas, dan DBP menganjurkannya dengan mata terbuka luas.

Geram saya terhadap DBP ini bukan sahaja susulan peranannya sebagai polis bahasa. Sebagai mantan aktivis antikerajaan, saya memang tidak suka dengan aktiviti kepolisan; tidak kira jenis apa pun. Tetapi lebih daripada itu, geram saya terhadap DBP adalah kerana ia seperti seorang polis yang malas. Gemuk disuap makan dalam bilik berhawa dingin, punggung melekat di kerusi empuk tanpa perlu buat apa-apa, kecuali datang kerja dan pulang tepat waktu.

Saya tidak dapat meluahkan rasa geram terhadap DBP ini pada malam itu kerana terganggu dengan entah pak cik mana yang muncul bersajak ketika sesi soal jawab. Dekat seminit juga beliau membaca sajak itu dari hafalan, entah untuk tujuan apa. Katanya akan rasa kecewa kalau tidak dapat bercakap malam itu kerana beliau memecut dari Ipoh selepas solat asar untuk hadir ke forum itu. Masuk dua minit beliau cuba menjadi panelis tambahan, saya dan beberapa teman lain keluar meninggalkan dewan.

Lelaki itu, bagi saya adalah manifestasi segala yang tidak kena dan rosak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dan saya tidak sampai hati mahu menghamburkan kemarahan setelah melihat personifikasi DBP sebagai seorang lelaki lanjut usia, yang mahu orang mendengar katanya.

Itulah masalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Meski menaranya menjulang tinggi ke langit, ia sebenarnya sudah tidak lagi mampu berkuntau seperti zaman muda-muda dahulu. Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sebuah institusi yang sudah tua roh dan jiwanya. Makan viagra sebakul pun belum tentu jadi apa-apa. Maka tidak perlu lah ikut nasihat Hishamuddin Rais malam itu.

Apa sebenarnya kerja DBP?

Turun dari dewan, saya ketemu senarai matlamat DBP yang ditulis besar-besar di sebuah dinding. Ada enam semuanya tetapi saya tertarik dengan matlamat nombor tiga - mencetak atau menerbitkan atau membantu percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.

Perhatikan penggunaan kata 'atau' berkali-kali dalam ayat itu. Padanlah tiada satu kerja pun yang berhasil. Kalau ada pun hasil, ibarat melepaskan batuk di tangga. Reka letak majalah yang diberi percuma kepada media malam itu pun nampak tidak bersungguh.

"Macam majalah sekolah," kata seorang teman yang tidak perlu saya namakan. Itu belum ditambah hamburan Isham Rais dari atas pentas.

"Entah bunga-bunga mana dia Google, kemudian dia tampal-tampal. Tak ada kena mengena dengan tajuk. Malas!" ujar aktivis itu. Isham tidak bertapis-tapis meluahkan rasa geramnya. Begitu juga penyair Dinsman yang pernah dahulu bekerja di Dewan.

Dinsman malah membawa senaskhah akhbar mingguan berbahasa Inggeris, dikibar-kibarnya akhbar itu depan muka pentadbir utama DBP, bertanya kenapa mereka tidak boleh menerbitkan sesuatu dengan mutu yang sama atau lebih baik lagi.

Saya tidak pasti kalau pucuk pimpinan DBP menjawab persoalan Dinsman - kerana saya pulang awal; tetapi persoalan yang ditimbulkan itu sebenarnya telah dijawab lebih awal pada ronda pertama ketika perbincangan bermula.

DBP jadi begitu kerana ia menjadi hamba budaya bodek dalam rejim lama. Ia sekadar menjadi simbol ketuanan sebuah parti politik bernama United Malays National Organisation yang sampai ke sudah enggan menggunakan nama Melayunya. DBP jadi lemah longlai, tidak larat, mandom dan tidak berfungsi kerana ia wujud dalam budaya bodek dan feudal Umno. Budaya meletakkan panelis forum dalam bilik VIP, diberi kerusi mahal atas pentas.

"Forum kerajaan," kata saya kepada Eddin Khoo yang turut hadir sebagai panelis. Eddin meninggalkan bilik VIP selepas 30 saat dibawa masuk. Mengomel-ngomel dia di luar bertanya apa kejadahnya panelis dikurung dalam bilik khas.

Tidak demokratik

Budaya 'bilik VIP' sebagai cabang feudalisme DBP adalah satu lagi masalah yang harus segera ditangani. Dalam era Malaysia Baharu ketika menteri-menteri tidak lagi minta disambut dan dilayan seperti raja, DBP sepatutnya sudah boleh bergerak maju meninggalkan budaya feudal orde lama, dan menjadi lebih demokratik dalam orde baru.

Dewan Bahasa jadi mandom kerana ia tidak demokratik. Ia tidak bebas berkarya, ia tidak bebas mengkritik dan ia tidak bebas bekerja selaras dengan visi dan matlamatnya. Penyudahnya kita melihat DBP sekadar menjadi bualan pengumuman trafik petang-petang hari. "Jalan Dewan Bahasa sesak," katanya. Bukan sahaja jalannya yang sesak, tersumbat dan bungkam. Seluruh sistem saraf DBP juga sesak, tersumbat dan bungkam.

Tanpa perlu peduli dengan DBP pun sudah banyak yang bergiat sendiri-sendiri menerbitkan buku, menterjemah, berforum dan berkiprah seputar bahasa dan budaya. Golongan muda, mengisi lompang yang ditinggalkan ketika DBP nyenyak tidur setelah kenyang diberi makan oleh kerajaan lama.

Barangkali cara terbaik untuk mengajar DBP adalah dengan membiarkannya lapar, supaya ia pandai-pandai cari dana sendiri dan mandiri tanpa disuap tangan pemerintah.

Malah barangkali agar ia lebih melompat dan bekerja, kita tukar sahaja pucuk pimpinannya sepertimana kita menukar kerajaan. Atau lebih kontroversi, kita tukar sahaja bidang tugasnya. Biar bukan sahaja bekerja seputar Bahasa Melayu. Biar makna 'bahasa' dalam Dewan Bahasa disekalikan semua bahasa di Malaysia. Biar berlumba jabatan bahasa mana yang lebih kuat kerja. Sudah fitrah institusi Melayu, tidak berjalan kalau tidak diketuk. Bagai pahat dengan penukul.

Sudah tiba masanya DBP diketuk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo