NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar Perlu Sedia Dicabar – Zuraida



Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti, namun beliau turut mengingatkan agar parti bersedia 'menjulang prinsip demokrasi' sekiranya jawatan tertinggi parti itu dicabar.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin, berkata PKR harus terbuka sekiranya ada pemimpin lain turut menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu PKR itu bagi menyaingi Anwar.

Sambil memberi bayangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah individu yang turut layak untuk merebut jawatan itu yang kini disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Peranan beliau (Anwar) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.

"Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.

"Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segar Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Dalam kenyataan yang sama, Zuraida turut menyorot 'kecemerlangan' pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya, Azmin yang kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

"Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.

"Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.

"Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai," katanya yang juga ahli Parlimen Ampang itu. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo