Oleh: Muhtar Suhaili As-Sarawaki
Alhamdulillah. Dengan pembentukan Kabinet Penuh Kerajaan Malaysia yang mengangkat sumpah jawatan semalam (3 Menteri Persekutuan lagi yang akan dilantik Senator akan diumumkan kemudian), maka lengkaplah pembentukan Kabinet Kerajaan Malaysia dan Kabinet Kerajaan Negeri-negeri.
Sebagaimana dimaklumi, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menguasai 7 buah Negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera atau secara spesifik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula menang di 2 buah Negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) yang majoritinya dari United Malays National Organization (UMNO) menguasai Perlis dan Pahang, manakala gabungan parti pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) menunjangi Sabah. Seterusnya Gabungan Parti Sarawak (PBS) yang juga mantan BN ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memerintah di Sarawak pasca Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada tahun 2016.
Di peringkat Kabinet Kerajaan Persekutuan, boleh dikatakan ianya adalah pembahagian hampir sama rata antara 4 komponen PH dan turut dianggotai WARISAN. Bahkan ia tidak dibuat berdasarkan jumlah kerusi dimenangi dalam PRU14, malah dibuat mencerminkan peratusan penduduk di Malaysia. Saya secara peribadinya bersetuju dengan komposisi jamaah Menteri dan Timbalan Menteri, meskipun tidak disukai oleh DAP yang telah menzahirkan kekecewaan mereka!
Berikut merupakan pecahan Jemaah Menteri & Timbalan Menteri Kerajaan Malaysia. Ia terdiri dari :
1. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU): Perdana Menteri, 5 Menteri & 4 Timbalan Menteri.
2. Parti Keadilan Rakyat (PKR): Timbalan Perdana Menteri, 7 Menteri & 7 Timbalan Menteri.
3. Demokratic Action Party (DAP): 6 Menteri & 6 Timbalan Menteri
4. Parti Amanah Negara (AMANAH): 5 Menteri & 4 Timbalan Menteri
5. Parti Warisan Sabah (WARISAN): 3 Menteri & 2 Timbalan Menteri.
Satu fakta yang menarik juga ialah hanya 7 Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri iaitu berkurangan daripada 17 dalam pentadbiran lalu. Untuk Sarawak, hanya seorang Menteri iaitu Menteri Kerja Raya Baru Bian (PKR) dan seorang Timbalan Menteri memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri iaitu Chong Chien Jen (DAP).
Manakala di Peringkat Negeri pula, terdapat 3 Menteri Besar/ Ketua Menteri dari BERSATU (Johor, Perak dan Kedah), PKR 2 (Selangor dan Negeri Sembilan), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), UMNO 2 (Perlis dan Pahang), DAP 1 (Pulau Pinang), AMANAH 1 (Melaka), WARISAN 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).
Secara keseluruhannya, DAP menguasai kerusi Exco terbanyak di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PKR 2 (Selangor dan Kedah), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), UMNO 2 (Perlis dan Pahang), WARISAN 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).
Jumlah Kerusi Exco termasuk Menteri Besar/ Ketua Menteri di seluruh negara mengikut parti adalah seperti berikut: 33 DAP, 23 PKR, 22 PAS, 19 UMNO, 14 AMANAH, 10 BERSATU, 8 PBB, 6 WARISAN, 2 Parti United Pasokmomogun Kadazan Organization (UPKO) dan masing-masing satu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People Party (SUPP), United People Party (UPP) dan Malaysian Chinese Association (MCA).
Maka tidak salahlah status posting saya seusai PRU14 yang lepas bahawa pemenang sebenar PRU14 ialah DAP, meski ramai pada masa tersebut tidak bersetuju dengan posting tersebut!
Perincian Kedudukan Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri & Exco mengikut Negeri adalah seperti berikut:
1. Perlis Indera Kayangan
Menteri Besar: UMNO
Exco: 7 UMNO & 1 MCA
2. Kedah Darul Aman
Menteri Besar: BERSATU
Exco: 4 PKR, 3 AMANAH, 2 BERSATU & 1 DAP
3. Pulau Pinang
Ketua Menteri: DAP
Timbalan Ketua Menteri 1: PKR
Timbalan Ketua Menteri 2: DAP
Exco: 6 DAP & 2 PKR
4. Perak Darul Ridzuan
Menteri Besar: BERSATU
Exco: 5 DAP, 3 AMANAH & 2 PKR
5. Selangor Darul Ehsan
Menteri Besar: PKR
Exco: 4 PKR, 3 DAP, 2 AMANAH & 1 BERSATU
6. Negeri Sembilan Darul Khusus
Menteri Besar: PKR
Exco: 5 DAP, 3 PKR & 2 AMANAH
7. Melaka Bandaraya Bersejarah
Ketua Menteri: AMANAH
Exco: 5 DAP, 2 PKR, 2 BERSATU & 1 AMANAH
8. Johor Darul Takzim
Menteri Besar: BERSATU
Exco: 4 DAP, 2 PKR, 2 AMANAH & 2 BERSATU
9. Pahang Darul Makmur
Menteri Besar: UMNO
Exco: 10 UMNO
10. Terengganu Darul Iman
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS
11. Kelantan Darul Naim
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS
12. Sabah Negeri Di Bawah Bayu
Ketua Menteri: WARISAN
Timbalan Ketua Menteri 1: UPKO
Timbalan Ketua Menteri 2: PKR
Timbalan Ketua Menteri 3: WARISAN
Menteri: 4 WARISAN, 2 DAP & 1 UPKO
13. Sarawak Bumi Kenyalang
Ketua Menteri: PBB
Timbalan Ketua Menteri 1: PBB
Timbalan Ketua Menteri 2: PRS
Timbalan Ketua Menteri 3: PBB
Menteri: 5 PBB, 1 SUPP & 1 UPP
Saya dan seluruh rakyat mendoakan semoga semua Pimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri-Negeri mampu melaksanakan amanah dengan baik dan menunaikan Manifesto yang dijanjikan!
In shaa Allah penulisan ini akan bersambung dengan Harapan Saya Kepada Kabinet Kerajaan Malaysia.
#MalaysiaSejahtera
#SejahteraBersamaIslam
#BeristiqamahHinggaKemenangan
No comments
Post a Comment