KETIKA berusia 14 tahun, Muhammad Anuar Ab. Ghani telah menyertai pertandingan menulis esei berkaitan nuklear anjuran Agensi Nuklear Malaysia.
Anak bongsu daripada 10 beradik itu menghabiskan masa lapangnya menjalankan penyelidikan berkaitan nuklear menerusi pembacaan buku-buku yang terdapat di perpustakaan sekolahnya.
Niatnya hanya untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan sains dan teknologi selain menimba ilmu pengetahuan mengenai nuklear.
Bagaimanapun, dia gagal dalam pertandingan tersebut hanya kerana terlupa menghantar penyertaan sebelum tarikh tutup.
Jauh di lubuk hatinya, rasa kecewa membuak-buak tetapi dia percaya itu adalah permulaan bagi sebuah kejayaan.
Justeru, apabila seorang guru sains memintanya mewakili sekolah untuk bertanding pada Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan dia begitu teruja.
Malah, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu itu memasang impian untuk menebus kembali kekecewaannya dan memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik mungkin.
Projek 100 Things About Nuclear Science and Life yang diketengahkan bersama dua orang lagi rakannya berjaya menambat hati juri dan diumumkan sebagai juara pertandingan terbabit menewaskan empat lagi negara iaitu Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan.
Pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu turut disertai 188 pasukan lain dari seluruh dunia termasuklah Indonesia, Filipina, India, Republik Czech, Finland dan Sweden.
Ia menjadi platform kepada para pelajar yang terlibat untuk berkongsi maklumat serta pengalaman tentang impak dan aplikasi sains dan teknologi nuklear dalam kehidupan harian.
Muhammad Anuar mengakui kejayaan yang diperoleh adalah hasil usaha gigih dan tunjuk ajar yang berterusan daripada guru-guru dalam mempersiapkan pasukannya menghadapi pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
"Kami ditugaskan untuk menjalankan kempen berkaitan nuklear bersama komuniti setempat di Pulau Perhentian, Besut terutama apabila pelancong luar melawat kawasan berkenaan ketika hujung minggu.
"Kami perlu menerangkan kebaikan nuklear dan memberi pemahaman kepada masyarakat mengenainya. Ia sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan apabila berdepan dengan orang ramai," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tempuh cabaran
Selain itu, Muhammad Anuar memberitahu, dia dan rakan-rakannya diminta untuk membentangkan projek di hadapan ratusan pelajar ketika perhimpunan sekolah berlangsung dan bersoal jawab secara spontan.
Tidak cukup dengan itu, Muhammad Anuar berkata, pasukannya juga perlu menjalankan projek di sekolah bagi memberi pemahaman kepada para pelajar mengenai nuklear dengan menyediakan risalah dan kuiz untuk dijawab.
"Saya tidak melihat tugasan yang diberikan guru sebagai beban, sebaliknya ia sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi pertandingan tersebut dan mencungkil bakat yang dimiliki.
"Oleh itu, kami cuba untuk memberikan yang terbaik kerana yakin ia mempunyai objektif tertentu yang ditetapkan," ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar di IAEA suatu hari nanti.
Sementara itu, seorang lagi ahli pasukan, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, memberitahu, pasukannya berdepan cabaran getir untuk memberi pemahaman kepada masyarakat setempat mengenai nuklear.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, rata-rata masyarakat yang didekati menganggap mereka sebagai pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan luas tentang nuklear kerana hanya bersekolah di luar bandar.
Oleh itu, cerita anak jati Kuala Besut tersebut, mereka sering diajukan dengan pelbagai soalan yang menguji minda bagi memperlihatkan tahap sebenar penguasaan pengetahuan dalam bidang nuklear.
"Kadang-kadang soalan yang diajukan di luar pengetahuan dan kami cuba sedaya upaya menjawab berdasarkan penyelidikan yang dilakukan.
"Kami menyertakan bukti-bukti setiap kali berhujah menggunakan pendekatan yang mudah untuk difahami," ujarnya.
Korban masa
Menurutnya, pasukannya akan membuat perbincangan beberapa kali setiap minggu dan mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang tidak mampu dijawab.
Menurut Muhammad Syazwan, antara cabaran lain yang dihadapi adalah dalam membina keserasian sesama ahli kumpulan sehingga kadangkala berlaku pertengkaran.
Dia memberitahu, setiap ahli kumpulan mempunyai karakter yang berbeza dan untuk memahaminya mengambil masa yang agak lama.
Bagaimanapun Muhammad Syazwan berkata, dia berusaha sedaya upaya untuk bertolak ansur dan lebih gemar berbincang apabila berlakunya sesuatu masalah.
Muhammad Syazwan turut mengakui dia perlu bijak membahagikan masa supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran apabila bersetuju untuk menyertai pertandingan tersebut.
"Pertandingan ini memerlukan saya berkorban masa dan tenaga tetapi saya juga tidak boleh meninggalkan pelajaran kerana peperiksaan semakin hampir.
"Mahu atau tidak, saya perlu membuat jadual supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran selain dapat melakukan aktiviti riadah seperti biasa," katanya lagi.
Guru Penyelaras Projek, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar berkata, segala susah payah pasukan anak didiknya berbaloi dengan kejayaan itu dan beliau secara peribadi menyifatkan ia sebagai kemuncak kecemerlangannya sepanjang berkhidmat dalam bidang perguruan selama ini.
Menurut Wan Zul Azri, pasukan KuBest Innovation ditubuhkan pada Disember tahun lalu di bawah Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut diketuai Ketua Bidang Sains Matematik sekolah, Faizul Abd. Raman dibantu dirinya dan seorang lagi guru, Rohaya Husin.
Serlah kemahiran
Seorang lagi ahli pasukan, Safiyyah Muhammad Nasir, 16, menceritakan, dia berjaya mengasah kemahiran teknologi dan komunikasi sepanjang melibatkan diri dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
"Sebelum ini saya langsung tidak tahu menggunakan komputer untuk menghasilkan kertas kerja atau menyediakan nota ringkas untuk perbentangan.
"Guru yang banyak memberikan pengetahuan tentang penggunaan komputer sehingga saya boleh menghasilkan semuanya dengan sendiri," katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, jika dahulu dia agak gementar untuk berhadapan dengan orang ramai tetapi kini tidak lagi.
Manakan tidak, dia lebih yakin untuk berkomunikasi, terutamanya dalam bahasa Inggeris setelah dilatih oleh gurunya menerusi pelbagai tugasan.
Pengawas di SMK Kuala Besut itu turut mengakui pengetahuannya terhadap bidang nuklear semakin bercambah, sekali gus meningkatkan semangat patriotik terhadap negara.
"Walaupun banyak pihak mengatakan bahawa nuklear ini amat berbahaya tetapi kami percaya Malaysia mampu menubuhkan pusat tenaga nuklear semaju negara-negara lain, sekali gus dijadikan tenaga alternatif bagi penghasilan sumber elektrik," katanya.
Pasukan KuBest Innovation dari SMK Kuala Besut, Besut, Terengganu yang mewakili Malaysia berjaya menewaskan 188 pasukan dari seluruh dunia dalam Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan baru-baru ini.
No comments
Post a Comment