NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zul iPhone bangkit selepas ditipu lebih RM2 juta



LELAKI berusia 19 tahun itu terduduk saat mendapat tahu dia ditipu sekumpulan sindiket yang menawarkan telefon bimbit pada harga murah.
Zulhelmi Yusof yang berasal dari Melaka terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta hasil kutipan wang pendahuluan daripada pelanggan yang membuat tempahan awal untuk membeli telefon jenama Apple iaitu iPhone.

Saat itu, dia hidup seperti pelarian. Dia bukan sahaja tidak keluar rumah dalam tempoh enam bulan tetapi terpaksa berpindah tempat tinggal beberapa kali.

Lebih menyedihkan, keselamatan keluarganya turut diancam serta dicemuh dengan pelbagai kata-kata kesat.

"Modus operandi sindiket itu sangat mudah. Mereka menawarkan kepada mana-mana individu untuk menjadi ejen dengan menjual barangan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

"Ejen pula membuat promosi dan menjual produk berkenaan di laman sosial masing-masing seperti Facebook, Instagram serta Twitter," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya, Z Empire Sdn. Bhd., di Taman Permata, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jujur

Jelas Zulhelmi,21, memori pahit itu berlaku pada Julai 2016. Ia adalah satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan dan kejadian itu benar-benar membuatkannya mengenali erti hidup.

Zulhelmi menjadi ejen menjual telefon bimbit semasa sedang mengikuti pengajian di UniKL-MICET, Alor Gajah, Melaka melalui perniagaan yang dikenali sebagai Zul iPhone.

Selepas kejadian itu, dia bangkit perlahan-lahan untuk membina kembali empayar perniagaannya.

Jelas anak ketiga daripada lima adik-beradik itu, dia tidak boleh duduk diam kerana sampai bila-bila orang akan mencarinya selagi dia tidak menjelaskan keadaan sebenar.

"Saya beritahu kepada 700 orang pelanggan bahawa saya telah ditipu sindiket itu. Saya kembalikan 50 peratus wang pendahuluan mereka secara berperingkat-peringkat. Ada antara mereka yang faham dengan situasi itu dan tidak kurang juga yang tidak dapat menerima.

"Walaupun perkara itu sudah dua tahun berlalu, sehingga kini saya masih dalam proses mengembalikan wang mereka," terangnya yang akur dengan keadaan 'turun naik' dalam perniagaan.

Katanya lagi, pada April 2017, dia mewujudkan kembali perniagaan Zul iPhone dan tidak disangka-sangka dalam tempoh sebulan, dia mendapat tempahan sebanyak 3,000 unit iPhone. Rata-rata pelanggan itu adalah pembeli terdahulu yang masih mempercayainya.

Kelebihan lain yang membuatkan perniagaannya dipercayai adalah dia sering menerangkan keadaan sebenar jika pembeli mempunyai sebarang keraguan terhadap pembelian iPhone mereka.

"Apa yang menjadi isu di sini ialah kebanyakan penjual tidak menyatakan keadaan sebenar iPhone yang dijual sama ada betul-betul original dari Apple atau dari sebuah telefon rekondisi.

"Ini mengelirukan banyak pihak terutamanya dari segi penebusan jaminan. Ia tidak diterima melalui Apple Malaysia," jelasnya jujur.

Malah, Zulhelmi turut memberi jaminan satu tahun kepada pelanggan yang membeli iPhone daripadanya. Selain itu, tiada tempoh menunggu kerana Zulhelmi hanya menjual stok telefon sedia ada.

Berkat ketabahan atas kejadian yang menimpanya, Zulhelmi kini boleh berbangga kerana dia bukan sahaja menjadi pelopor kepada bisnes menjual iPhone pada harga mampu milik di laman sosial tetapi mempunyai pejabat sendiri serta mampu menggajikan 10 orang pekerja.

Lelaki muda itu juga mempunyai lebih 400 ejen berdaftar di bawahnya serta 28 ketua ejen di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/varia/zul-iphone-bangkit-selepas-ditipu-lebih-rm2-juta-1.695777

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo