Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mendedahkan pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Ramadan baru-baru ini adalah atas jemputan Perdana Menteri.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO itu berkata, pada pertemuan itu Mahathir meminta Ahli Parlimen UMNO, Barisan Nasional (BN) supaya menyertai PPBM.
"Bukan saya yang minta bertemu, tetapi saya dijemput untuk bertemu.
"Apa yang disebut oleh perdana menteri, antaranya beliau meminta supaya Ahli Parlimen BN, khususnya UMNO untuk menyertai PPBM atau parti Bersatu, saya menjawab dengan tegas tidak ada jalan bagi kita untuk menyertai parti berkenaan.
"Saya tak rela UMNO dibubarkan semata-mata memenuhi kehendak politik seseorang…mana mungkin Ular Lidi mahu menelan Ular Sawa," kata Ahmad Zahid ketika berucap pada sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Selangor di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebelum ini Mahathir yang juga Pengerusi PPBM mendakwa Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengannya bagi mendapat pandangan untuk memperbaiki UMNO.
Mahathir mendakwa beliau memberitahu Ahmad Zahid bahawa rakyat sudah jijik dengan UMNO.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan menjaga amanah bagi memelihara UMNO, BN. - Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment