Tsunami peringkat nasional pada PRU14 menyaksikan rakyat menolak BN dan memilih PH, sedangkan rakyat Terengganu menafikan PH dan memilih PAS.Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri
Setelah keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diumumkan, entah mengapa kisah Raja Babylon, Namrud yang sombong, angkuh merasakan dirinya terlalu hebat menerobos ke kepala.
Dek kekuasaan dan kekayaan yang melimpah ruah, ia mula bertindak zalim terhadap rakyat. Kemuncak kebobrokannya terlihat melalui arahannya mengerahkan 700,000 bala tentera menyerang Nabi Ibrahim dan pengikutnya.
Meski tampak gah dan luar biasa kemampuan yang dimilikinya, dia akhirnya ditewaskan oleh seekor nyamuk tempang yang berhasil masuk ke dalam tubuhnya melalui lubang hidung. Dia yang merasakan sakit kepala yang teramat, memerintahkan pengawal dan isterinya memukul kepalanya dengan terompah. Pukulan yang mulanya perlahan itu menjadi semakin kuat dan akhirnya menyebabkan kematian Raja Namrud.
Nah, menarik bukan? Walaupun ia tragis dan mengerikan, tetapi ini juga perkhabaran dan amaran daripada Tuhan tentang pemimpin yang sombong dan pemerintahan yang kacau bilau. Serangga kecil yang lemah mampu menumbangkan seorang diktator yang kejam.
Jika dianalogikan nyamuk itu rakyat Malaysia, saya kira gigitan berbisa yang bertubi-tubi merebakkan demam politik yang berpanjangan buat Umno dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah masa yang terbaik untuk Umno dan BN dikuarantinkan, mencari vaksin dan jadam terbaik untuk kebah dan kembali bertenaga seperti sedia kala.
Petanda serangan yang mengejutkan ini sebetulnya ada pembayangnya. Seperti mana tsunami yang membadai Acheh dan Pulau Pinang, kebeningan yang pada mulanya dirasakan terkesan sewaktu tempoh berkempen. "Mood" sepanjang 11 hari berkempen di Terengganu kali ini menyerupai pilihan raya 1999. Penyokong politik hanya berkempen secara sederhana. Rakyat begitu sepi tiada cakap-cakap politik di kedai kopi, suasananya sangat tenang.
Menyedari perkara ini, saya mulai bimbang. Petunjuk tsunami bakal menyerang mulai menampakkan belang, namun signalnya tidak dibaca oleh radar jentera Umno dan BN. Saya berkongsi hal ini dengan ayah. Beliau memandang saya dan pandangan matanya itu sudah cukup menceritakan apa yang terbuku di benak. Mata yang menyaksikan sendiri zaman kekalahan Umno di Terengganu, mata yang melihat rakyat terseksa di bawah pemerintahan PAS, mata yang bercengkang siang dan malam demi mengembalikan kemenangan Umno di negeri Terengganu pada 2004 .
Namun, mengapa Umno Terengganu tidak dapat meramal dan memahami "mood" ini? Umno tidak dapat mengesan rakyat rata-ratanya sedang "bekok" (memendam perasaaan).
Apakah gagal meramal atau sengaja tidak mahu ambil pusing petanda yang diberikan? Seperti mana ada nasihat diberikan oleh ahli Umno yang sayangkan parti, ia ditepis bagaikan nyamuk yang menjengkelkan di telinga.
Penulisan saya sebelum ini dengan terang dan jelas meminta Umno Terengganu segera melakukan perubahan supaya kekal relevan, terutamanya melalui reformasi dan rombakan besar-besaran melibatkan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Namun, ibarat kata-kata yang masuk ke telinga tuli, itu semua tidak berlaku, malahan individu seperti saya dituduh mengkhianati pemimpin dan parti padahal kami terus setia bersama Umno sehingga ke akhirnya.
Persiapan apakah yang digembleng bagi menghadapi pilihan raya yang getir ini? Manifesto bagaimanakah yang dapat menarik hati rakyat? Siapakah yang bakal diangkat menjadi pemimpin dan wakil suara rakyat? Saya tidak dapat melihat dengan jelas usaha yang konkrit dicurahkan untuk memenangi Terengganu.
Apakah dek terlalu yakin Sabah dan Sarawak sudah dalam genggaman sehingga sanggup melihat Terengganu terbarai? Dan akhirnya, kealpaan dan kepongahan ini diajar oleh rakyat.
Tsunami yang meradai Terengganu berbeza sifatnya dengan tsunami peringkat nasional. Tsunami peringkat nasional menyaksikan rakyat rata-rata menolak BN dan memilih Pakatan Harapan (PH), manakala rakyat Terengganu pula menafikan PH, sebaliknya memilih PAS.
Nama-nama besar didalam PH seperti Datuk Raja kamarul Bahrin dan Azan Ismail pun rebah di Terengganu, membuktikan gelombang PH itu tidak sampai di bumi Darul Iman ini.
Sepanjang tempoh berkempen, PAS hanya menjaja isu pentadbiran menteri besar dan tidak langsung melagukan isu nasional, risalah yang disebar, poster yang diangkat semua memaparkan tentang ketirisan yang berlaku di Terenganu dan kelemahan pentadbiran Razif.
Faktor Razif ditambah dengan percaturan calon yang tidak digemari rakyat menghasilkan efek gandaan yang membawa kepada bencana besar. Tidak tercapai dek akal apabila kita kalah berbelas-belas ribu di sesebuah kerusi Parlimen di Terengganu.
Berbuih sudah mulut ini, sakit sudah jari-jari ini, menulis dan memberi amaran kepada pegawai dan penasihat Datuk Seri Najib Razak supaya sampaikan permasalahan ini yang akan merebahkan Umno di Terengganu. Namun sipalah saya, sekadar politikus hingusan.
Nasi sudah menjadi bubur. Tsunami telah pun melanda. Nyamuk sudah pun menggigit. Apa yang perlu dilakukan sekarang? Dosa kekalahan ini perlu dan wajib digalas di pundak Razif. Bukannya niat saya untuk menuding jari, menyalahkan pihak itu dan ini, tetapi sebagai tok ketua atau tok sidang yang menyelia strategi kempen, beliau perlu bertanggungjawab atas kegagalan memacu jentera dalam memastikan kemenangan Umno di Terengganu.
Oleh itu, Umno Terengganu dan Kuala Nerus sendiri harus berwajah baharu kerana kekalahan ini isyarat penolakan yang jelas rakyat Terengganu terhadap kepimpinan Razif. Beliau perlu muhasabah diri dan membuat refleksi mengapa rakyat tidak menerima kepimpinannya.
Beliau harus menerima kenyataan yang jenama TTB dan "Terengganu Molek Doh" itu ditolak oleh rakyat dan bukannya menyalahkan orang muda dan media secara total. Singkirkan keegoan dan keangkuhan kerana itu hanya membutakan mata dan menulikan telinga daripada menghadam realiti yang sedang berlaku.
Tikus tidak boleh dibenarkan membaiki labu. Kerosakan sudah pun berlaku. Hanya pakar yang berpengalaman dapat menyelamatkannya daripada hancur musnah begitu sahaja. Otai politik mesti dirujuk dan mereka inilah yang mampu melakukan sesuatu. Kita harus belajar dari kesilapan kepimpinan masikini yang mengenepikan otai-otai ini, yang juga tidak terbuka menerima nasihat.
Saya percaya dengan bimbingan mereka ini, kita akan dapat pulihkan kembali jenama Umno. Langkah ini harus dilakukan dengan segera, sebelum PH berjaya menapak dengan utuhnya di negeri Terengganu ini. Kita harus bersatu tenaga dan akal mencari jalan untuk bangkit dari puing-puing kemusnahan.
Meskipun parti keramat Umno dilanda tsunami, namun itu bukan penamat buatnya. Rakyat menolak individu tertentu yang menjadi makhluk perosak parti dan bukannya parti itu sendiri.
Aizat Fikri Nasir Fikri ialah bekas timbalan presiden Umno London
No comments
Post a Comment