"KONSPIRASI terancang untuk menjatuhkan saya," tegas bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron hari ini.
Kenyataan itu dibuat berikutan tindakan sekumpulan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tangga Batu yang mendesak beliau meletak jawatan Ketua UMNO bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, malam tadi.
Idris yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian itu mendakwa, sidang media yang diketuai Timbalannya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah sejurus selepas mesyuarat AJK malam tadi sebenarnya dirancang dan diatur lebih awal.
Katanya, menerusi cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat itu, beberapa kelemahan ditonjolkan oleh kumpulan berkenaan termasuk alasan yang cukup umum, prosedur yang lemah bercampur emosi serta kenyataan tanpa fakta, berasaskan dendam dengan desakan supaya undi tidak percaya dilakukan terhadap dirinya.
"Cadangan itu dibantah oleh Ketua Puteri UMNO bahagian, Azlieza Azizan malah beliau diarah supaya keluar dari mesyuarat oleh pembawa usul dengan alasan kononnya membenci UMNO, walhal ketua puteri itu menasihatkan bahawa UMNO adalah satu keluarga dan pemilihan boleh dilakukan secara sihat tanpa perlu ada undi tidak percaya.
"Apabila melihat ada yang tidak kena dan dipengaruhi emosi, selaku pengerusi, saya mengumumkan mesyuarat itu ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.
Idris yang mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hujung bulan ini berkata, mesyuarat berkenaan diteruskan oleh Abu Bakar dan kumpulan AJK terbabit melakukan undian menolak kepimpinan beliau di peringkat bahagian dan negeri, meskipun jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dilantik oleh Presiden parti.
"Dalam hal ini ia menunjukkan bahawa pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditolak oleh segelintir `panglima perang' UMNO Tangga Batu, manakala individu yang ditolak rakyat pula dikehendaki mereka.
"Sebagai makluman, Datuk Abu Bakar adalah calon UMNO yang mengalami kekalahan paling besar pada PRU-14 dan individu ini pula dipilih mewakili suara mereka dalam isu ini. Justeru, mereka sepatutnya sedar diri," katanya.
Beliau juga sudah mendapatkan pengesahan daripada ibu pejabat UMNO, bahawa beliau masih kekal sebagai ketua UMNO bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Ditanya sama ada isu ini akan menjejaskan peluangnya untuk mempertahankan jawatan MT UMNO, beliau tidak menolak kemungkinan itu, namun peluang menang tetap ada.
Abu Bakar dalam sidang media malam tadi, mengumumkan keputusan 31 AJK untuk menolak kepimpinan Idris sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.
Desakan itu dibuat sebagai tanggungjawab yang perlu digalas Idris atas kegagalan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu.
No comments
Post a Comment