Tanda-tanda riwayat Umno akan berakhir dan ia tidak mampu bertahan tanpa dibantu kuasa
wang, nyata semakin terserlah sekarang ini.
Cukup sebulan sejak Umno yang merupakan tunjang BN kehilangan kuasanya pada pilihanraya
9 Mei lalu, aktiviti Umno sepanjang Ramadan ini boleh dikatakan terhenti sama sekali.
Jika sebelum ini, bulan Ramadan merupakan bulan yang sibuk bagi pemimpin Umno menjalankan pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa dengan ahli peringkat cawangan atau akar umbi, berbuka puasa bersama anak yatim atau fakir miskin, memberi bantuan kepada masjid dan surau dan sebagainya, semua itu terhenti dengan tiba-tiba seiring dengan gugurnya kuasa yang dipegang sejak lebih 60 tahun yang lalu.
Ramai kawan-kawan di beberapa bahagian Umno mengeluh tentang kelesuan program sepanjang
Ramadan kali ini dan ia sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Ramadan kali ini, kami hanya berbuka puasa di rumah masing-masing saja bersama keluarga".
Tidak saja ketua bahagian tidak menganjurkan majlis berbuka puasa atau menghulurkan
bantuan kepada cawangan-cawangan untuk mengadakan majlis yang sama, pemimpin Umno
peringkat nasional yang kini sudah bertaraf bekas menteri juga tidak lagi mengadakan sebarang majlis di bulan Ramadan ini, ujar beberapa kenalan dalam Umno yang sempat dihubungi.
Kali ini, kata mereka, tiada lagi program berbuka puasa sama ada di peringkat bahagian atau pemimpin bahagian turun ke cawangan-cawangan seperti sebelumnya, malah rata-rata pemimpin bahagian seperti menghilangkan diri, meskipun tahun ini merupakan tahun pemilihan bagi Umno.
"Sudah tentu kami juga tidak lagi menerima duit raya daripada pemimpin-pemimpin bahagian sebagaimana sebelum ini," kata mereka lagi.
Perkembangan ini menunjukkan pemimpin Umno di semua peringkat nampaknya tidak sedia
mengeluarkan wang poket sendiri untuk tujuan mengadakan program, waima atas nama
kebajikan dan sedekah di bulan Ramadan sekali pun.
Hal ini memperlihatkan bahawa Umno selepas ini bakal ketandusan program di seluruh negara untuk mendekati rakyat kerana tidak ada sesiapa yang mahu mengeluarkan belanja sendiri bagi menggerakkan parti.
"Jika tanpa program di akar umbi dan pemimpin Umno di peringkat bahagian hanya "goyang
kaki" dengan jawatan mereka, bagaimanakah parti itu mampu bangkit melawan kerajaan Pakatan Harapan yang sedang berkuasa sekarang?" soal seorang ketua cawangan Umno ketika berbual-bual dengannya.
Dalam perkembangan yang sama, melihat kepada kemungkinan Umno akan ketandusan program
itu, kecenderungan mereka beralih kiblat dengan menyertai Bersatu atau PKR jelas semakin meningkat sekarang ini.
Bukan saja sudah sekian ramai pemimpin peringkat timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian atau bekas-bekas pemimpin bahagian mengambil keputusan menyertai Bersatu atau PKR, malah lebih ramai ketua-ketua Umno cawangan di seluruh negara yang dilihat menunjukkan minat mengalih kiblat politik mereka selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti.
Mereka rata-rata melihat zaman gelap Umno sudah pun bermula dan parti itu bukan saja tidak semewah dulu, bahkan tiada apa-apa yang menarik lagi untuk berjuang melaluinya.
Kata mereka, Umno sudah jadi ibarat orang kaya yang tiba-tiba jatuh bankrap dan tiada sumber kewangan yang menyebabkannya sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan seperti orang biasa.
Selama ini pemimpin Umno hidup mewah kerana projek-projek segera yang diperolehi melalui hubungan dengan menteri dan perdana menteri, tetapi setelah tiada lagi kuasa, semua pergantungan itu hilang dengan sendirinya.
Meskipun kebanyakan pemimpin atasan Umno masih lagi kaya dan bertaraf jutawan, tetapi sudah tentu mereka tidak akan mengeluarkan wang poket sendiri untuk diperuntukkan kepada bahagian-bahagian kerana tidak pasti sama ada BN boleh menang lagi atau tidak dalam pilihanraya yang akan diadakan lima tahun datang.
Kedudukan BN turut semakin mengecil dan tergugat untuk kembali berkuasa dengan keluarnya PBB daripada gabungan itu dan tidak mustahil akan disusuli oleh lain-lain parti di Sarawak juga.
Lama-kelamaan, tambah mereka lagi, tanpa sebarang aktiviti dan program serta tiada sesiapa yang sanggup mengeluarkan belanja untuk parti, Umno akan dilupakan dan perlahan-lahan akan mati dengan sendirinya.
Teori Rahman akhirnya terbukti benar di mana Perdana Menteri terakhir daripada Umno yang berkuasa ialah N iaitu Najib, malah kerana kepimpinan dan skandal yang melingkari N jugalah yang menyebabkan parti itu sedang menebas laluannya sendiri untuk menuju ke tanah perkuburan.
No comments
Post a Comment