NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tukang masak tempatan: PPIM minta jangan buat keputusan terburu-buru



KUALA LUMPUR – Perancangan dan penyelidikan yang menyeluruh perlu dilakukan sebelum menetapkan semua restoran di negara ini menggunakan khidmat tukang masak tempatan, kata aktivis persatuan pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata PPIM menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia itu yang mengutamakan tukang masak tempatan bagaimanapun rundingan harus dilakukan terlebih dahulu antara pihak kementerian dan pihak berkepentingan seperti pengusaha kedai makan dan persatuan pengguna.

"Rata-rata restoran kini menggunakan tukang masak warga asing contohnya di kedai masakan mamak, pemiliknya lebih gemar mengambil tukang masak dari India manakala kedai masakan dari pantai timur majoritinya adalah tukang masak dari Thailand, sama juga dengan kedai makanan Cina dan lain-lain, mereka akan menggaji tukang masak sama ada dari Vietnam, China dan negara lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran bahawa semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan sahaja bekerja di restoran mereka dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2019.

Nadzim berkata cadangan itu akan menyelesaikan masalah melibatkan tukang masak warga asing tetapi kementerian juga harus mempertimbangkan tentang gaji yang sesuai untuk tukang masak tempatan dan masalah kos yang harus ditanggung pengusaha restoran.

"Masalah kebersihan tukang masak warga asing menjadi isu sejak akhir-akhir ini, ia harus ditangani dengan tegas oleh pihak yang berwajib kerana ia membabitkan kesihatan orang awam, satu lagi isu yang perlu diberi perhatian ialah wujud juga tukang masak yang tidak mempunyai dokumen yang sah iaitu pasport, permit kerja dan sebagainya," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Dr Jacob George berkata Kementerian Sumber Manusia tidak seharusnya membuat keputusan secara terburu-buru tanpa melakukan rundingan dan persetujuan daripada mereka yang terbabit dalam perniagaan kedai makan.

"Isu lambakan tukang masak warga asing ini bukan perkara yang baharu, kebanyakan pengusaha restoran tiada pilihan dan mengambil tukang masak warga asing bekerja atas sebab kos membayar upah, kepakaran memasak dan sebagainya," katanya.

Katanya cadangan kementerian itu boleh direalisasikan tetapi tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana menurut pengusaha restoran, ramai warga tempatan tidak berminat bekerja di restoran berkemungkinan atas faktor gaji dan suasana bekerja. -Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo