NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: PITAS, Pengasingan fungsi badan politik dan kuasa ekonomi



KUALA TERENGGANU 5 Jun - Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menjadi model polisi dan pentabiran negeri jangka panjang antara lain menekankan prinsip pengasingan fungsi antara badan politik dan kuasa ekonomi.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, badan politik sebagai penentu halatuju negeri, perancang program dan pemantau manakala kuasa ekonomi bertanggungjawab terhadap penentuan syarikat pelaksana.

Katanya, PITAS 2030 yang dirangka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 oleh kalangan pakar anak negeri sebagai persediaan Pas mengambil alih pemerintahan bagi mencorak pembangunan negeri lebih terancang dan memberikan faedah meluas kepada rakyat.

"Pelan ini dirangka berteraska lapan sasaran pencapaian penting dalam lima bidang fokus utama membabitkan tujuh prinsip K ke arah menjadikan Terengganu Sejahtera pada tahun 2030,"ujarnya

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Iftar Terengganu Inc. Bersama Menteri Besar di Permai Hotel, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Yahaya.

Dr. Ahmad Samsuri menjelaskan, tujuh prinsip tersebut termasuklah pematuhan kepada prinsip Islam; insan berkualiti aset terpenting negeri; kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat; pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan dan masyarakat.

"Juga pembangunan lestari mencakupi tiga elemen utamanya iaitu alam sekitar, masyarakat dan ekonomi yang berteraskan Islam di samping kerajaan negeri sebagai pemandu, pemudahcara dan pemantau kepada swasta dan rakyat dalam menjayakan pelan pembangunan negeri," ujarnya.

PITAS mensasarkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang tahun 2030 namun Utusan Malaysia difahamkan untuk jangka masa pendek, pelan penjanaan pendapatan kerajaan negeri dirangka bagi menjayakan kesemua manifesto Pas.

Selain itu juga meneroka peluang-peluang pendapatan baharu dengan memanfaatkan segala sumber baharu yang boleh ditawarkan untuk rakyat terutama dalam sektor pelancongan, pertanian dan hasil galian.

Potensi yang besar itu bagi mengurangkan pergantungan kepada hasil petroleum akan dimanfaat secara optimum bagi menjana pendapatan negeri untuk kesenangan rakyat. - UTUSAN ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo