NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa Akan Pulihkan Ekonomi Malaysia? – Syahir Sulaiman




oleh: Syahir Sulaiman,
28 Jun 2018


“Tiada masalah dapat diselesaikan pada tahap pemikiran yang sama ketika masalah itu tercipta” – Albert Einstein

Tiada siapa dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia perlu dipulihkan secara menyeluruh. 

Persoalan yang biasa ditanya, apakah punca masalah ini, siapakah yang patut dipersalahkan, dan bagaimana kelemahan ini boleh dibiarkan berlaku.

Namun persoalan utama yang perlu dijawab adalah, apakah peranan kita untuk memulihkan ekonomi negara, dan apakah kekuatan yang boleh kita manfaatkan bersama. 

Jawapan kepada persoalan ini terletak di tangan kita, kerana sesebuah ekonomi bergantung kepada tiga tonggak utama bagi memastikan kitaran pasaran yang baik, iaitu pilihan yang dibuat oleh rakyat sebagai pengguna, usahawan sebagai pelabur dan kerajaan sebagai penggubal dasar.

Dalam sektor perniagaan, terdapat dua kategori usahawan iaitu mereka yang berdaya-eksplorasi (exploration) dan mereka yang berdaya-eksploitasi (exploitation). 

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis usahawan ini wujud, tetapi ekonomi yang sihat memilih lebih ramai usahawan berdaya-eksplorasi untuk meneroka pasaran baru, mencipta peluang pekerjaan di samping menjaga kelestarian alam dan peduli masyarakat.

Dalam pentas politik pula, terdapat dua kategori ahli politik iaitu mereka yang mementingkan rakyat (rakyat-centric) dan mereka yang mementingkan kroni (crony-centric). 

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis ahli politik ini wujud, tetapi ekonomi yang sihat memilih lebih ramai pemimpin berjiwa rakyat yang mendampingi golongan bawahan, berbanding pemimpin yang dikelilingi oleh kroni dan proksi bagi mengambil kesempatan untuk membina kekayaan. 

Manakala di kalangan rakyat, terdapat dua kategori pengguna iaitu pengguna yang bijak (smart consumer) dan pengguna yang dimanipulasi (manipulated consumer).

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis pengguna ini wujud, tetapi ekonomi yang sihat memilih lebih ramai rakyat yang bijak membuat pilihan untuk berbelanja, melabur dan menyimpan, di samping bijak untuk membuat pilihan bagi membetulkan manipulasi pasaran dan kesilapan kerajaan.

Justeru inilah pakej rangsangan yang diperlukan bagi memulihkan ekonomi Malaysia, iaitu pembaharuan ‘Perangai Ekonomi’ (behavioral economics) di kalangan rakyat sebagai pengguna, usahawan sebagai pelabur dan kerajaan sebagai penggubal dasar, dalam membuat keputusan ekonomi yang rasional pada setiap waktu.

Jika perubahan ini tidak berlaku, maka kita akan menyaksikan pengulangan masalah yang sama di tahap pemikiran kita yang dahulu. 

#MalaysiaBaru
#PerangaiEkonomiBaru

Syahir Sulaiman,  adalah Pengarah Strategi DPPM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo