Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut perlantikan Menteri Besar negeri ini.
Mohd Asri berkata, melalui PRN rakyat boleh membuat keputusan dalam menentukan siapa yang lebih layak untuk memimpin negeri ini.
"Pandangan saya, kita bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan kita mendapat calon yang lebih kemas dan lebih baik.
"Pada masa yang sama, rakyat boleh menilai kembali parti yang dipilih mereka sebelum ini (Plihan Raya Umum ke-14), selepas beberapa isu yang dibangkitkan serta didedahkan ketika ini.
"Ini akan peluang untuk membentuk kerajaan yang lebih baik dan kukuh," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ziarah dan Berbuka Puasa bersama masyarakat bukan Islam, di Kangar, malam tadi.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas situasi terkini kemelut politik yang melanda Perlis.
Terbaru, Barisan Nasional (BN) Perlis akan menghantar senarai 11 nama calon Menteri Besar Perlis dan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, minggu hadapan.
Kemelut Menteri Besar Perlis telah memasuki minggu ketiga hari ini, walaupun Datuk Seri Azlan Man sudah menggalas jawatan itu sejak minggu lalu.
Krisis bermula apabila Shahidan menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambung Tulang sebagai calon Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda tidak mahu Menteri Besar Perlis menjadi 'boneka' kepada pihak tertentu.
Sembilan ADUN BN memboikot istiadat berkenaan sebagai bantahan terhadap perlantikan semula Azlan yang berlangsung di Istana Arau pada Khamis lalu.
Kejadian itu menimbulkan murka Tuanku Syed Sirajuddin kerana semua ADUN berkenaan telah mendapat surat jemputan dari pihak Istana dua hari sebelum majlis berlangsung.
No comments
Post a Comment