NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Amirudin ganti Azmin, Rodziah ganti Amirudin



AMIRUDIN Shari mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu di Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Sumpah Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah. FOTO Roslin Mat Tahir

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang, hari ini, melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Tuanku Sultan dengan pihak luar; menjunjung tinggi rukun negara; memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain; melaksanakan tugas dengan penuh integriti serta bertanggungjawab serta memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana yang diturunkan Allah SWT serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Rodziah Ismail sebagai EXCO kerajaan negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amirudin.

Amirudin sebelum ini ialah EXCO Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah pernah memegang jawatan EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 sehingga 2013 ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Terdahulu, dalam istiadat berasingan, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menerima mengadap Mohamed Azmin untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Amirudin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/06/349848/update-amirudin-ganti-azmin-rodziah-ganti-amirudin

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo