BAGAI kepala dihempap batu, begitulah sakitnya perasaan Siti Mariam Abdullah, 35, (bukan nama sebenar) apabila dikhabarkan kehilangan pekerjaan secara mengejut.
Siti Mariam, seorang ibu tunggal meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila dia antara 17,000 penjawat awam berstatus kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada saat orang lain bergembira membuat persiapan lebaran.
“Saya mempunyai seorang cahaya mata. Sudah hampir 10 tahun saya bekerja sebagai penjawat awam lantikan kontrak.
“Pada awal mendapat berita itu (ditamatkan kontrak), saya terkejut dan berasa sedih lantaran merasakan diri seperti dianiaya. Bagaimana saya mahu meneruskan hidup selepas ini,” kata Siti Mariam memulakan bicara kepada Wartawan Sinar Harian.
Sehubungan itu menurut Siti Mariam, dia merasakan tindakan oleh kerajaan baharu itu sebagai tidak adil kepada dirinya memandangkan tempoh kontrak miliknya masih berbaki sehingga tahun 2019.
“Saya menjadi penjawat awam selepas melalui sesi pengambilan, temu ramah berdasarkan kelulusan serta kelayakan saya.
“Tetapi akhirnya diberhentikan ketika hampir Aidilfitri dengan notis yang pendek? Itu paling membuatkan saya sedih,” katanya pilu.
Tambah Siti Mariam, bukan sahaja memikirkan nasib seorang cahaya matanya, tetapi sebagai anak sulung, dia juga membantu perbelanjaan keluarga dengan gaji sebelum ini.
“Nampaknya raya kali saya sambut dengan sedih. Sebagai anak sulung saya ada komitmen tinggi dengan mendahulukan keperluan keluarga.
“Saya dah membuat perancangan kewangan untuk anak dan keluarga termasuk persiapan rumah untuk hari raya ini, namun sekarang semua hanya tinggal angan-angan apabila kenaikan gaji ditahan dan bonus diberi juga tidak seperti dijanjikan kerajaan dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Mariam meminta rakan-rakan yang senasib supaya menganggap keputusan itu sebagai dugaan Ramadan biarpun air mata mereka tumpah dek kerana sedih dan perasaan bercampur baur memikirkan untuk mencari pekerjaan lain.
Sumber; http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/saya-ibu-tunggal-diberhentikan-kontrak-1.846200
Sumber; http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/saya-ibu-tunggal-diberhentikan-kontrak-1.846200
No comments
Post a Comment