RABAT, 13 Syawal 1439H, Rabu – Persidangan Antarabangsa kelima mengenai Masalah Baitulmaqdis, yang bermula pada Rabu di Rabat, ibu negara Maghribi, memberikan para pakar peluang untuk menilai perjanjian Oslo, lapor agensi berita Xinhua.
Titah Raja Maghribi Mohammed VI, isu penempatan Palestin-Israel memerlukan kesungguhan politik, usaha bersepadu dan penglibatan penaja antarabangsa yang benar-benar tulen.
"Kita bergantung kepada pengalaman, keberkecualian dan keupayaan mereka untuk menampakkan pengaruh. Konflik dapat diselesaikan jika delusi dan nostalgia lampau ditinggalkan.
"Tempoh konflik dan kebuntuan politik sejak 2014 tidak seharusnya menimbulkan sikap tidak peduli atau acuh tak acuh," titah baginda kepada para peserta persidangan.
Baginda menegaskan, adalah menjadi tugas masyarakat antarabangsa membawa isu itu ke meja rundingan untuk mencapai penyelesaian yang selamat serta adil.
Perjanjian Oslo, yang ditandatangani pada tahun 1993 dan 1995, mencerminkan kesepakatan antarabangsa mengenai penyelesaian dua negara di samping meneroka prospek untuk penyelesaian konflik Palestin-Israel.
Persidangan itu dianjurkan Jawatankuasa Mengenai Hak Tak Terpisah Rakyat Palestin, sebuah subsidiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). – Bernama
No comments
Post a Comment