ARAU: 13 Jun - Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri, hari ini.
Semua lapan ADUN terbabit mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau di sini, dengan turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mereka yang dilantik sebagai anggota EXCO itu ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Azizan Sulaiman (Santan), Hamizan Hassan (Kayang), Rozaini Rais (Beseri), Rozieana Ahmad (Pauh) dan Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Ann (Titi Tinggi).
Pelantikan EXCO hari ini menjadikan Perlis negeri terakhir membentuk kerajaan negeri selepas berlaku kemelut pelantikan Menteri Besar yang mengambil masa hampir sebulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata ini adalah masanya untuk bekerja dan banyak perkara perlu dilakukan untuk pembangunan negeri.
"Saya yakin semua lapan ADUN yang diperkenan oleh Raja Perlis untuk menjadi EXCO ini akan bekerja keras dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh komited.
"Kita berada dalam satu pasukan dan kita akan bergerak bersama-sama dalam menjalankan agenda yang sudah ditetapkan untuk membangunkan negeri Perlis," katanya.
Mengulas mengenai perbezaan tampuk kepimpinan negeri dan pusat, Azlan berkata, Kerajaan Persekutuan tidak akan mengabaikan negeri pembangkang.
"Saya yakin melalui kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melakukan diskriminasi.
"Ia disebut sendiri oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) bahawa tiada diskriminasi kepada negeri pembangkang.
"Walaupun kita di bawah kerajaan yang berbeza saya percaya mereka akan membantu membangunkan agenda di negeri ini," katanya.
Mengenai portfolio, Azlan yang juga ADUN Bintong akan memegang pentadbiran dan kewangan; pelaburan dan perdagangan antarabangsa; perancangan ekonomi dan pembangunan industri; hal ehwal tanah; dan keselamatan dan ketenteraman awam.
ADUN Chuping, Asmaiza memegang portfolio kemajuan luar bandar dan pembasmian kemiskinan; pembangunan pusat pertumbuhan baru; pelancongan; dan kebudayaan, kesenian dan warisan.
ADUN Simpang Empat, Nurulhisham pula pertanian dan asas tani; perusahaan perladangan dan komoditi; dan penyelarasan penguatkuasaan bersepadu dan aduan awam.
Sementara itu, ADUN Santan, Azizan memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan; penjaja dan perniaga kecil; perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan; dan pembangunan usahawan dan industri kecil dan sederhana.
ADUN Kayang, Hamizan pula kemudahan dan prasarana awam; pengangkutan; belia dan sukan; dan badan bukan kerajaan.
Ruzaini yang juga ADUN Beseri pula hal ehwal agama Islam; kebajikan dan bantuan bencana; dan hubungan dan kerjasama sempadan.
ADUN Pauh, Rozieana Ahmad, pendidikan; pembangunan sumber manusia; sains, teknologi dan inovasi; dan teknologi maklumat dan komunikasi.
ADUN Mata Ayer, Siti Berenee memegang portfolio pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; perpaduan masyarakat; dan tugas-tugas khas dan ADUN Titi Tinggi, Chai Aan pula sumber asli dan alam sekitar; bioteknologi dan teknologi hijau; dan kesihatan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/437707/8-exco-perlis-angkat-sumpah
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/437707/8-exco-perlis-angkat-sumpah
No comments
Post a Comment