IPOH – Kerajaan negeri Perak akan membuat keputusan muktamad sama ada Pulau Sembilan di Bagan Datuk akan dibuka semula atau ditutup sepenuhnya kepada sebarang aktiviti pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata pihaknya kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai perancangan masa depan pulau itu untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
“Sama ada Pulau Sembilan kekal ditutup atau dibuka kepada orang ramai akan ditentukan oleh kerajaan, kita perlu tunggu selepas kertas kerja siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Tourism Perak di sini malam tadi.
Pulau Sembilan ditutup sejak 1 April tahun lepas disebabkan kerosakan ekosistem alam terutama membabitkan ‘blue sand’ di beberapa kawasan di sepanjang kawasan pantai tersebut.
Menjelas lanjut, Tan berkata proses pemuliharaan pulau berkenaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah selesai sepenuhnya.
Menurut Tan, beliau telah mengadakan lawatan ke pulau tersebut dan amat berpuas hati dengan kerja-kerja pemuliharaan yang dilakukan oleh pihak JKR di sekitar kawasan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menubuhkan majlis konsultasi mengenai pelan induk pelancongan negeri dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Katanya majlis konsultasi itu akan melibatkan pihak berkepentingan antaranya persatuan pelancongan, pencinta alam semula jadi serta golongan profesional seperti pensyarah, arkitek dan ahli biologi untuk memberi nasihat dan pandangan dalam sektor pelancongan di negeri ini.
“Kita masih dalam proses mengenal pasti dan akan menentukan jumlah anggota majlis tersebut yang bakal membentuk kerangka utama bagi pelan induk pelancongan berdasarkan kepada kekuatan warisan dan ekopelancongan.
“Majlis konsultasi itu juga nanti akan melibatkan beberapa agensi dan jabatan kerajaan negeri seterusnya mampu merancakkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA
No comments
Post a Comment