NOTIS:
Penjawat awam Terengganu dapat bonus RM500
KUALA TERENGGANU – Menjelang Syawal ini, penjawat awam di negeri ini mendapat khabar gembira kerana bakal menerima bonus sebanyak RM500 oleh kerajaan Terengganu bagi menghargai jasa serta sumbangan mereka terhadap negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM6.3 juta bagi memberi bonus lebih 12,000 penjawat awam di seluruh negeri.
Menurutnya, agihan itu meliputi seluruh penjawat awam termasuk yang berstatus tetap, kontrak, sementara tanpa perjawatan dan ad hoc.
“Walaupun bonus ini dilihat melibatkan perbelanjaan besar, kerajaan negeri akan membayarnya untuk kepentingan dan manfaat penjawat awam dalam semua kategori (sektor pekerjaan) agar dapat mengurangkan bebanan menyambut lebaran nanti.
“Bagaimanapun, ia kemungkinan tidak dibayar pada masa terdekat disebabkan faktor teknikal dan urusan pentadbiran,” katanya yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dalam perkembangan sama, Mohd Nor berkata, pembayaran tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat memandangkan tempoh masa singkat selepas keputusan itu dipersetujui.
“Kita tak dapat bayar esok (7 Jun) bersama-sama pembayaran gaji bulan ini kerana tempoh masa yang singkat sebaik sahaja kerajaan negeri memutuskan bersetuju membayar bonus tersebut.
“Namun, pembayaran bonus akan diusahakan secepat mungkin dan akan diselesaikan kepada semua penjawat awam pada musim perayaan,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/penjawat-awam-terengganu-dapat-bonus-rm500-1.843183
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment