SELEPAS 10 hari dimasukkan ke wad Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung, kartunis, Azhar Ahmad atau dikenali Tembakau, 46, menghembuskan nafas terakhir pada jam 10 pagi, hari ini.
Allahyarham mencipta populariti menerusi siri cerita Kartini yang popular dan mencetus fenomena pada awal tahun 2000.
Idea kreatif serta perjalanan cerita menarik digarapnya membuatkan beberapa penerbit berminat mengadaptasi Kartini dalam bentuk filem.
Tembakau dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 Jun lalu selepas mengalami serangan jantung.
Allahyarham berasal dari Padang Rengas, Perak meninggalkan seorang balu dan tiga anak.
Rakan baik dan ‘sifunya’ dalam bidang kartunis, Ibrahim Anon atau Ujang, 53, menyifatkan pemergian Tembakau satu kehilangan besar dalam dunia kartunis tempatan.
“Saya memberikan nama Tembakau ketika arwah mula bekerja dengan saya. Hubungan kami agak rapat dan saya bagi “guide” hampir setahun buatnya untuk menghasilkan cerita Kartini.
“Ketika arwah dimasukkan ke HKL, saya sempat melawatnya tetapi berada dalam keadaan koma ketika itu. Saya sedih melihatnya.
“Saya berpesan kepada seorang rakan, juga bekas kakitangan saya dulu untuk menjaga dia dan memaklumkan perkembangan terkini kesihatannya,” katanya kepada Harian Metro.
Ujang berkata, dia pulang menyambut Aidilfitri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dimaklumkan keadaan kesihatan Tembakau mulai positif.
“Saya diberitahu doktor sudah buka alat bantuan pernafasannya membuatkan hati terasa lapang mendengarnya. Dia perlu menjalani pembedahan potong kedua-dua kaki yang mati akibat toksin. Ia perlu supaya toksin tidak merebak ke bahagian lain.
“Saya bercadang melawatnya semalam tetapi apabila difikirkan pun tiada guna kerana dia dimasukkan ke dewan bedah dan tidak dapat berjumpanya.
“Bagaimanapun pagi ini saya dikejutkan dengan berita pemergiannya dan seakan tidak percaya rasanya dia sudah tiada,” katanya.
Mengulas filem Kartini, Ujang berkata, dia tidak tahu perkembangan lanjut mengenainya.
“Perancangan itu memang ada dan saya berikan kebenaran untuk arwah mengendalikannya sebelum ini.
“Saya tidak campur tangan kerana tidak mahu nampak sangat hasil kerja saya dalam Kartini kerana saya sudah terbabit dalam penghasilan filem Jibam sebelum ini.
“Biarlah dia mencorakkan dengan gaya dan ideanya sendiri kerana dia yang menulis cerita ini,” katanya yang mengharapkan agar projek itu akan diteruskan.
Ujang mengakui Allahyarham Tembakau dan pelukis Aie (Shaari Sulong) yang kini mengalami masalah sakit buah pinggang antara anak didiknya yang sangat komited dengan kerja mereka.
Jenazah Tembakau diuruskan oleh Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah (SMKASAS) untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya, hari ini. – Metro Online
No comments
Post a Comment