NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemilihan Umno: Hishammuddin Sah Tidak Tanding


Seperti dijangka Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi peringkat pusat pada pemilihan parti sesi 2018–2021 akhir bulan ini.

Keputusan itu dibuat sebagai menghormati keputusan rakyat yang mahukan perubahan selain bertanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, beliau akan bekerja dengan lebih keras untuk membantu membangunkan semula UMNO bermula dari negeri kelahirannya, Johor.

"Saya sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN). Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka.

"Ia memberi isyarat jelas bahawasanya UMNO tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa dan menuntut kepada perubahan pendekatannya secara total. Saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti terhadap kekalahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Watan Online melaporkan desas-desus bahawa bekas Menteri Pertahanan itu tidak akan bertanding dalam pemilihan UMNO.

Malah, Hishammuddin yang ketika itu berada di Makkah dikatakan sudah memaklumkan hasratnya itu kepadan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui dua pegawainya.

"Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa UMNO ke hadapan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin.

"Saya berikrar untuk tetap bersetia bersama UMNO sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih oleh ahli menjelang 30 Jun ini.

"Saya juga telah bercakap dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Khaled Nordin mengenai perkara itu serta berbincang bagaimana untuk saya terus menyumbang kepada parti, mereka faham serta menghormati keputusan itu," kata Zahid lagi.

Kata beliau, perjuangan sekali ini bukan mengenai individu, tetapi kekuatan berpasukan dan ia juga bukan perjuangan mengenai kedudukan, tetapi sumbangan.

"Marilah kita ambil isyarat PRU14 ini sebagai semangat dalam membina UMNO yang lebih dekat di hati rakyat," katanya. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo