NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelantikan Tommy Thomas Dan Peranan Agong



oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

DI SISI undang-undang, pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara itu sah. Sama ada beliau sesuai atau tidak adalah perkara lain. Pihak kerajaan telah memberi alasan-alasan mengapa beliau paling sesuai dilantik ke jawatan itu. Pihak yang tidak bersetuju juga telah memberi alasan-alasan mengapa beliau tidak sesuai. Biar apa pun, ia telah menjadi kenyataan.

Maka, saya tidak akan berhujah mengenainya. Sebaliknya saya akan menunggu dan melihat apa yang akan dilakukannya dalam isu-isu tertentu dan, jika didapati perlu, mengulasnya malah menyokongnya atau menentangnya.

Dalam rencana ini saya cuma hendak mencerahkan bahawa, jika saya ulangi, jika kita tidak bersetuju dengan pelantikan itu, siapa yang patut kita persalahkan, supaya kita tidak membuat kesilapan menyalahkan pihak yang tidak sepatutnya dipersalahkan.

Ini kerana saya dapati kebanyakan orang, khususnya orang Melayu yang tidak bersetuju dengan pelantikan itu, pertama sekali membuat kesilapan mengharapkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja untuk tidak bersetuju dan seterusnya mengharapkan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melantiknya.

Apabila apa yang mereka harapkan itu tidak berlaku dan Yang di-Pertuan Agong melantiknya, maka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dipersalahkan.

Sebaliknya, mereka seolah-olah menerima apa yang dilakukan oleh kerajaan (orang politik) itu dan meletakkan harapan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja untuk menghalangnya? Jika itulah keadaannya, maka mereka telah tidak mempertanggungjawabkan pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan dan mengharapkan pihak yang tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan kuasanya. Mereka silap dalam kedua-duanya.

Mari kita lihat peruntukan Perlembagaan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam perkara ini. Perkara 145(1) memperuntukkan: “145. (1) The Yang di-Pertuan Agong shall, on the advice of the Prime Minister, appoint a person who is qualified to be a judge of the Federal Court to be the Attorney General for the Federation.”

Terjemahan bahasa Melayu: “145. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.”

Beri perhatian kepada perkataan “shall” (hendaklah) dan “advice” (nasihat). Perkataan “shall” (hendaklah) itu bererti mestilah. Perkataan “nasihat” itu pula bukanlah mempunyai makna seperti perkataan “nasihat” yang kita gunakan hari-hari. Dalam penggunaan hari-hari, nasihat boleh diikuti dan boleh tidak diikuti, biasanya lebih banyak tidak diikuti, malah tidak dipedulikan langsung.

Tetapi, perkataan “nasihat” itu bererti nasihat yang mesti diikuti. Ertinya, apabila Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, jika jawatan itu kosong, maka Yang di-Pertuan Agong “hendaklah” atau mestilah melantiknya.

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk melantik atau tidak melantik dalam perkara ini. Mengapa demikian? Ini adalah natijah perebutan kuasa antara raja dengan rakyat di England yang mengambil masa beratus-ratus tahun yang berakhir dengan raja berperlembagaan seperti yang ada sekarang. Konsep ini telah diterima pakai oleh penggubal-penggubal Perlembagaan kita.

Memberi kuasa

Pihak-pihak yang tidak berpuas hati itu mungkin menyalahkan penggubal-penggubal Perlembagaan dan menuntut supaya Perlembagaan dipinda untuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong menggunakan budi bicaranya untuk bersetuju atau tidak bersetuju membuat pelantikan Itu.

Dengan hormat, itu juga tidak betul. Itu bererti memberi balik kuasa yang diserahkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kepada raja. Rakyat menuntut hak itu daripada Raja kerana jika ia berada di tangan Raja dan Raja menyalahgunakannya,misalnya dengan melantik sesiapa sahaja yang disukainya, tidak kira layak atau tidak dan sesuai atau tidak, rakyat tidak boleh berbuat apa-apa.

Perlu diambil perhatian bahawa peruntukan yang mewujudkan Mahkamah Khas dibuat kemudian. Lagi pula, ia hanya berkenaan tindakan undang-undang ke atas Raja-Raja sebagai individu. Sebaliknya, jika pemilihan calon Peguam Negara itu diberi kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat, pertama, dalam membuat pemilihan itu kerajaan kenalah memikirkan sama ada ia akan dipersetujui oleh majoriti rakyat (pengundi) atau tidak.

Ini kerana, jika tidak, ia mungkin akan menyebabkan kerajaan itu hilang sokongan dan mungkin kalah dalam pilihan raya yang akan datang. Kedua, jika atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong melantik seorang yang tidak layak mengikut Perlembagaan, rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang dengan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai pihak kena tuntut (defendant) untuk membatalkan pelantikan itu. Sistem ini mungkin tidak memuaskan.

Tetapi, itulah yang terbaik yang ada. Sekurang-kurangnya ada remedinya (remedy), jika tidak, tidak ada langsung. Sama seperti demokrasi. Ia tidak memuaskan dalam banyak perkara, tetapi itulah sistem terbaik yang ada.

Jika saya diberi pilihan, saya memilih sistem kerajaan ‘Rasul’ seperti kerajaan Madinah di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW. Tidak mengapa tidak ada pilihan raya, tidak ada semakan semula kehakiman (judicial review) kerana saya tahu itu semua tidak perlu.

Tetapi, apa boleh buat, Allah Taala tidak menghantar Rasul lagi. Seperti yang saya sebut lebih awal, orang ramai juga mengharapkan Raja-Raja, melalui Majlis Raja-Raja menghalang pelantikan itu. Ini juga silap.

Berlainan daripada pelantikan Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim, pelantikan Peguam Negara tidak memerlukan rundingan (consultation) dengan Majlis Raja-Raja. Sila baca semula peruntukan Perkara 145 (1) yang saya perturunkan terdahulu dan bandingkan dengan peruntukan ini.

“122B. (1) The Chief Justice of the Federal Court, …shall be appointed by the Yang di-Pertuan Agong, acting on the advice of the Prime Minister, after consulting the Conference of Rulers.”

Terjemahan bahasa Melayunya: “122B. (1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,…hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.”

Maka, saya ulangi, jika kita tidak bersetuju dengan pelantikan itu, hanya ada satu sahaja remedinya, iaitu PRU-15. Jangan salahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

- PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara.







No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo