NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam Negara, Apa Nak Di Kesalkan?




Oleh: SUBKY LATIF 

TIADA apa yang hendak dikesalkan dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baru yang tentunya sudah dimusyawarahkan oleh Top Enam pimpinan Pakatan Harapan.


Tiada Perdana Menteri Mahathir memandai memutuskannya sendiri menamakan Peguam Negara bukan Melayu/Islam melainkan dirundingkan sesama Top Enam itu dengan harapan tiadalah ia jadi Top Enam Jahanam, imbasan satu jodol wayang Enam Jahanam yang menarik satu masa dulu.

Tiada apa yang hendak dikatakan kerana semuanya tidak bercanggah dengan perlembagaan. Jika orang Melayu dukalara hanya terhadap perlembagaan yang terlepas pandang rasa hati orang Islam. Jika hendak marah dan kesal, marahlah kepada perlembagaan yang disetujui oleh Tunku Abdul Raman dan Tun Razak yang mengepalai rombongan rundingan kemerdekaan di London menjelang kemerdekaan dulu.

Dr. Burhanuddin al-Helmy pemimpin PAS masa itu minta ditangguhkan dulu kemerdekaan itu kerana syarat yang British beri menjadikan ia merdeka separuh masak. Dato Onn sependapat dengan Dr. Burhanuddin. Ada kelemahan pada perlembagaan itu.

Orang Melayu – raja-raja dan rakyatnya – sentiasa bersangka baik kepada semua. Tiada syak dan ragu atas syarat kemerdekaan dan perlembagaan gubalan Inggeris itu. Dari dulu hingga sekarang sekaliannya bersangka baik bahawa perlembagaan dan pengemudinya menjamin kedaulatan, keselamatan, Negara, Melayu, Islam, rakyat dan lain-lain.

Tetapi banyak cerita orang Melayu tertipu. Yang masyhur, rombongan pelayar perang Portugis dikatakan bertemu dengan Raja Melaka minta membeli tanah sebesar belulang lembu di kawasan strategik dengan harga yang luar biasa tingginya. Tidak dipastikan cerita itu benar tapi orang Melayu tahu cerita itu. Moralnya ia adalah satu sindiran kepada bangsa Melayu.

Raja setuju kerana tanah sebesar belulang lembu tidak sebarang kesan. Tetapi Peringgi menjadikan belulang itu tali yang apabila disambung ia menjadi kawasan yang luas. Ia jadi tapak kubu Peringgi menyerang Melaka. Raja dan rakyat tak terkata-kata. Melaka ditawan. 

Jaminan Inggeris, Tunku dan Tun Razak tentang perlembagaan itu mungkin dirasai orang ramai kerana kita tidak dapat pastikan penjawat Peguam Negara itu seorang yang peka Islam dan Melayu seperti yang PAS harapkan.

Rakyat gembira kerana baru merayakan pemerintahan BN yang merugikan negara ditumbangkan. Hanya Umno yang terkedu akan kekalahannya. Kini ia terkedu kali kedua kerana pelantikan Peguam Negara yang baru itu. Kebanyakan orng Melayu terkedu sama.

Terkedu itu terkejut. Masing-masing terkejut krana perlembagaan tidak menjadikannya hak istimewa orang Melayu. Bukan semua jaminan orang Melayu itu mesti disebut dalam perlembagaan. Tetapi pemimpin mesti peka apa rakyat majoriti mahu dan tak mahu. Apa yan tiada dalam perlembagaan, pemimpin yang ada wawasan melengkapkan keperluan yang tidak termsuk dalam perlembagaan asal tidak dibuat kerana kezaliman.

Mereka jangan ambil kesempatan atas kekurangan perlembagaan meletak rakyat kecil hati dan jatuh semangat. Kecil hati itu tidak dapat diubat dengan mandi bung atau mandi dengan air dari tujuh kolah masjid.

Orang Melayu yang diasak oleh Umno dengan sikap anti Malaysian Malaysia masih dibelenggu oleh fobia itu. Tidak ganjil bagi DAP meneruskan cita-citanya. Tapi Top Enam Pakatan Harapan seolah-olah memulakan pengisian Malaysian Malaysia itu.

Tommy Thomas seorang pakar undang-undang berwibawa, tetapi rakyat akar umbi mahu penjawat penting dapat menambah motivasi dan inovasi, maju dan membangun. Bagi Islam, Islam itulah sumber motivasinya. Jika tidak percaya tanya DS Anwar Ibrahim. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo