pengarang@utusan.com.my
11 Mei 2018 12:30 PM
KUALA TERENGGANU 10 Mei – Setelah gagal selama tiga penggal berturut-turut, PAS akhirnya menguasai semula negeri ini dengan kebangkitan baharu yang diperlihatkan hasil sokongan lebih meluas kalangan rakyat yang kembali memberikan kepercayaan.
Pilihan rakyat itu perlu dihormati oleh PAS apabila mereka sekali lagi melakukan perubahan dalam keadaan yang mengejutkan, sebagaimana parti itu pernah diberi peluang untuk berkuasa pada 1999 sebelum memerintah diminta keluar selepas sepenggal.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung ketika landskap politik tanah air begitu berubah yang akhirnya menampakkan pandangan tidak menentu dan sukar diduga tentang nasib bangsa dan agama.
Ketika PAS pula dalam keadaan tidak lagi memusuhi UMNO dengan tidak lagi bermain dengan sentimen siapa lebih Islam atau milik siapa syurga dan neraka tetapi dengan politik matang dan sejahtera.
Pendekatan parti itu pula dilihat semakin menyimpang daripada acuan dan berubah mengikut rentak masa akan mengikis keyakinan penyokongnya sendiri malah sekali lagi rakyat memaling muka.
Daripada slogan Membangun Bersama Islam, PAS Untuk Semua, beralih kepada Negara Berkebajikan, di samping perpecahan dalamnya sehingga tertubuhnya PAN, meninggalkannya kali ini bersendirian sebagai pembangkang, kelemahannya dianggap semakin ketara.
Namun ketika PAS dan UMNO semakin tiada perbezaan ketara, menampakkan titik-titik temu yang makin nyata dalam arah tuju malah kedua-duanya menjadi asakan serangan gabungan pakatan pembangkang, mengapa Pas tiba-tiba begitu diyakini?.
Justeru di manakah kelebihan PAS di negeri ini ketika kerajaan BN terus merencana segala yang dianggapnya terbaik untuk kekal memenangi hati rakyat?
Rakyat tentunya sudah mengenali dua parti ini sepanjang hidup mereka, namun dalam suasana politik yang mencabar, ada yang berpendapat dalam memastikan parti mana yang boleh disandar harapan untuk memacu masa depan tentunya barisan calon yang dipertaruhkan.
Seorang pemerhati politik berpendapat soal inilah yang membezakan PAS dan UMNO ketika kedua-dua parti itu menawarkan pilihan kepada rakyat agar memberi memberi mandat menerajui pemerintahan.
Apabila BN mengumumkan senarai calon mereka, Pas mula membayangkan tentang peluang kemenangan yang semakin cerah manakala kalangan penyokong UMNO dan BN mula melihat detik permulaan kepada kejatuhan dengan beberapa kerusi sudah diduga akan terlepas.
Barisan calon yang dikatakan sebagai pilihan rakyat dan bukan pilihan sesiapa, malah dibuat diputuskan melalui saringan cukup teliti, hasil pengamatan pasukan konsultan dilihat banyak yang menyimpang daripada apa yang cuba diyakinkan.
Seolah-olah tidak memperlihatkan kesungguhan untuk menang ketika Pas pula mengetengahkan calon-calon daripada pelbagai latar profesional dan perkhidmatan, seakan sudah mempersiapkan barisan kepemimpinan untuk menerajui negeri dengan kewibawaan awal yang diperlihatkan.
Soal itu yang dianggap memperlekehkan pemikiran pengundi tentunya salah satu faktor penolak selain arus yang dibawa oleh gelombang Pakatan Harapan di peringkat nasional yang menghakis banyak negeri sehingga turut menumbangkan kerajaan BN di peringkat negara.
Tetapi di negeri ini, arus deras nyata tidak membadai. Tidak ada satu pun daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh calon PKR malah ada yang hilang wang deposit manakala jumlah undi yang mereka raih juga tidak banyak memberi kesan penentu kepada kemenangan Pas atau BN.
Kemenangan PAS perlu dihormati dan di negeri yang majoritinya Melayu yang masih memberi tapak luas kepada parti itu bersandar janji-janji terutama berkaitan agama, dan tentunya mengharapkan Islam dimartabatkan dalam semua lapangan kehidupan, bukannya sekadar dengan laungan slogan.
Bergerak atas nama Islam tanpa menterjemahkan kemurniannya akan hanya mencemarkan agama. Kemenangan itu dengan tanggungjawab besar sebenarnya suatu ujian berat semula, dan sejarah tentunya mengingatkan Pas bagaimana untuk kembali bermula.
No comments
Post a Comment