NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menanti bermulanya reformasi

Oleh Wan Hamidi Hamid



SELEPAS lebih sebulan kerajaan baru ditubuhkan, ada antara kita yang kata tidak nampak apa-apa yang konkrit. Kita menuduh kerajaan baru ini sama seperti yang lama. Tiada banyak perubahan. Memang sedikit sebanyak ada benarnya juga.

Kita bersungguh-sungguh mahu kerajaan berubah tetapi kita mahu kerajaan melakukan segala-galanya tanpa kita berbuat apa-apa, kecuali melepaskan geram di media sosial dan gerai tepi jalan.

Seingat saya keadaan inilah yang memberi talian hayat amat panjang kepada Barisan Nasional dahulu termasuk sewaktu era Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Kita seolah-olah menerima ajaran "government knows best" atau kerajaan yang tahu segala-galanya melakukan segala-galanya untuk kita.

Tetapi apakah harga yang perlu kita bayar? Tutup mulut dan terima sahaja. Jika membantah, ada pelbagai undang-undang serta hukuman untuk mereka yang berani melawan kerajaan.

Apakah kita mahu ia berulang lagi?

Ramai yang mahu melihat perubahan. Namun kita tahu tuntutan orang A dan B tidak sama, malah bertentangan. Bagi C dan D pula, mereka tidak peduli dengan apa yang A dan B mahu tetapi menentang apa yang E tuntut manakala F menolak semuanya sekali.

Entah apa pula yang didesak oleh G, H, I, J dan seterusnya. Inilah realiti manusia hidup bermasyarakat.

Adakah kita mahu kerajaan yang lebih demokratik, lebih adil, lebih terbuka?

Atau kerajaan yang lebih sekular demokrasinya untuk melayan semua agama setaraf, lebih buta warna kulit agar semua kaum dilayan sama adil, lebih gender sensitif supaya kaum wanita diletakkan setaraf dengan lelaki?

Atau adakah kita mahu kerajaan yang lebih ghairah menunggang agama? Atau kerajaan yang mahu mengekalkan, malah meluaskan peluang untuk satu kaum sahaja tanpa mengira kelayakan dan latar belakang pendapatan keluarga?

Atau kerajaan yang mengutamakan warga Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak? Atau kerajaan yang terus mengetepikan Orang Asal?

Sanggupkah kita menerima orang profesional atau berkelayakan yang bukan daripada kalangan parti kita untuk diberi jawatan dalam kerajaan sedangkan kita yang sudah lebih sedekad atau dua dekad berjuang untuk parti belum mendapat apa-apa habuan?

Bersediakan kita menerima ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara kembali untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan? Atau kita akan marah dan bertanya 'mengapa baru sekarang mahu pulang untuk mendapat habuan'?

Relakah kita jika kerajaan mengharamkan pihak berkuasa tempatan daripada membenarkan orang parti politik mengutip bayaran atau sewa untuk apa program sekali pun termasuk tapak gerai atau lot perniagaan? Atau kita akan menjerit ada orang mahu menabur pasir dalam periuk nasi kita?

Sanggupkah sama-sama mengutip sampah selepas selesai sesuatu acara atau kita persetankan sahaja kerana esok mungkin kakitangan atau pekerja kontrak majlis perbandaran akan datang membersihkan kawasan?

Bagaimana pula dengan media massa? Adakah kita mahu kerajaan baru menghantar proksi parti pemerintah untuk menjadi pengerusi, CEO dan pengarang kumpulan media massa bagi memastikan mereka kekal menyokong "kerajaan semasa"?

Inilah beberapa persoalan yang sering bermain di benak saya. Saya kerap tengok cermin. Selain melihat perut makin membesar dan muka makin kerepot dimamah usia, saya juga nampak yang perubahan terutamanya reformasi, bukanlah sesuatu yang mudah.

Saya sedar reformasi akan dan perlu mengambil masa yang lama. Untuk berjaya, ia memerlukan kerjasama kerajaan dan rakyat serta golongan cendekiawan, NGO dan sesiapa sahaja yang menganggap diri sebagai kuasa ketiga.

Sepanjang era Najib Razak, ia membuka peluang kepada ramai pihak menjadi gelojoh dan tamak. Untuk menutup kebejatan itu pula, mereka memakai topeng agama dan kaum.

Namun, ia terlalu jijik sehingga ramai umat Melayu menolak mereka.

Selepas kebangkitan People's Power di Filipina pada 1986, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 20 tahun untuk menstabilkan negara tersebut yang dirosakkan oleh rejim Ferdinand Marcos.

Begitu juga Reformasi Indonesia 1998 yang menumbangkan rejim Orde Baru Suharto akhirnya membuahkan hasil selepas 20 tahun.

Penduduk Indonesia kini lebih 260 juta orang manakala Filipina pula 100 juta penduduk. Lebih 20 tahun lalu, terlalu ramai yang miskin di sana. Kini, keadaan bertambah baik di negara-negara tersebut.

Penduduk Malaysia pula hanya sekitar 32 juta orang. Mungkin kita tidak memerlukan 20 tahun untuk menikmati kejayaan reformasi politik, ekonomi dan institusi.

Jika kita berjaya kurangkan politik mempergunakan agama dan kaum, suatu masa nanti kesejahteraan, kemakmuran dan kebebasan bakal menjadi milik kita bersama.

Pada masa yang sama, demokrasi dan hak asasi pula perlu jalan seiring dengan pembangunan ekonomi.

Semoga kerajaan baru tidak buat perangai rejim lama. Semoga Dr Mahathir tidak berangan-angan mahu kembali menjadi diktator. Semoga Anwar Ibrahim mampu bersabar sebelum menjadi perdana menteri.

Semoga kita sentiasa waspada agar tidak diperkotak-katikkan oleh kerajaan, pembangkang, agamawan, jaguh kaum, NGO, wira MLM, para bomoh, dan apa-apa yang seangkatan dengan mereka.

Cabaran hidup ini jauh lebih luas daripada sekadar bermain politik dan agama.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo