BANGI – Kira-kira 5,000 anak Terengganu, kebanyakannya berada di Lembah Klang, diraikan pada majlis berbuka puasa bersama pimpinan kerajaan Terengganu di sini, hari ini.
Majlis yang menjadi acara tahunan kerajaan Terengganu itu adalah pertama kali diadakan selepas terbentuknya kerajaan negeri baharu.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada majlis berbuka puasa itu, turut diadakan sesi ramah mesra dan dialog bersama anak perantau Terengganu dan banyak persoalan dibangkitkan.
“Antaranya mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan, pengurusan royalti minyak yang disalurkan kerajaan persekutuan serta kedudukan projek-projek yang sebelum ini gagal disiapkan di Terengganu,” katanya selepas majlis berbuka puasa perantau anak Terengganu bersama Menteri Besar Terengganu dan kepimpinan negeri itu.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya memberi perhatian penuh terhadap semua persoalan tersebut dan akan mengambil langkah membetulkan keadaan dan penambahbaikan, serta berharap mendapat sokongan rakyat untuk bersama-sama membantu pembangunan di negeri itu.
“Sebagai contoh mengenai projek-projek bermasalah dan terbengkalai sebelum ini, pihak kerajaan sudah berkunjung ke tempat dimaksudkan dan kami berbincang dengan agensi atau pihak terlibat serta mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.
“Semua perkara ini ada dalam perancangan dan berikan kami (pihak kerajaan) sedikit masa untuk rangka pelan penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut,” katanya. - Bernama
No comments
Post a Comment