Tatkala umat Islam teruja menanti ketibaan Hari Raya Aidilfitri, Ziaur Rahman, 25, seorang etnik Islam Rohingya, hanya mampu termenung sedih mengenangkan keluarga dan kampung halamannya.
Merupakan antara lebih 60,000 etnik Islam Rohingya yang berlindung di Malaysia, beliau berkata ini tahun ketiganya beraya di negara ini.
"Saya tidak merasai nikmat sebenar berhari raya apabila terkenangkan nasib ibu dan keluarga di Wilayah Rakhine, Myanmar dan kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh yang hidup dalam kesusahan, kedaifan dan ketakutan.
"Apalah makna Aidilfitri tanpa kehadiran keluarga dan sekadar hidup di muka bumi ini sebagai pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," kata Ziaur Rahman kepada Bernama.
Apapun, beliau memuji rakyat Malaysia kerana kaumnya mendapat pembelaan di negara ini.
Sementara itu, Abdul Ghani Abdul Rahman, 48, yang telah lima kali menyambut 1 Syawal di negara ini, berkata apabila tibanya hari raya beliau sering terbayang bagaimana ia diraikan di kampungnya di Mrauk U, Utara Rakhine.
Menurutnya, tradisi dan amalan di sana tidak banyak beza dengan sambutan di Malaysia seperti menziarahi pusara, mengunjungi saudara-mara, bermaaf-maafan. Namun perbezaan wujud dari segi pakaian dan makanan.
"Pakaian tradisional kami di sana bagi lelaki ialah seperti Bazu (baju lengan panjang), Doothi atau Longyi (kain sarung), ada juga yang memilih untuk memakai kurta, jubba/panjabi (baju panjang) disekalikan dengan serban. Bagi wanita pula akan memakai jubah yang disertai dengan burkha.
"Makanan pula seperti nasi, daging, vermicelli, mi, pulut, Luri Fira (lempeng) dan manisan yang akan dihidangkan dengan susu. Namun tidak semua keluarga Rohingya mampu menghidangkan makanan sedemikian kerana kurang kemampuan.
Bagi Musi Ullah Muzar, 43, perkara yang sering dilakukan menjelang hari lebaran ialah cuba menghubungi keluarganya di kem-kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya walaupun kadangkala sukar untuk menghubungi mereka.
"Ada kala kami dapat menghubungi keluarga di sana (kem pelarian), tetapi di Utara Rakhine kami tidak mengetahui nasib mereka dan kami menjadi risau untuk menghubungi kerana sering mendapat perkhabaran kurang baik seperti kematian," jelas lelaki itu yang bakal menyambut lebaran buat kali ketiga di negara ini.
Rohingya dikategorikan sebagai antara etnik paling tertindas di dunia dan tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar. – Bernama
No comments
Post a Comment