'Wilayah Lemang (Lemang Valley) di Kijal menjadi tumpuan pembeli dari dalam dan luar Kemaman.Apabila menyebut makanan tradisional Lemang, pasti ada yang terbayangkan kesedapan beras pulut yang dimasak di dalam buluh dan dibakar sehingga menimbulkan bau yang pasti akan menggamitkan sesiapa saja untuk menikmati juadah tradisional tersebut.
Kebiasannya makanan tradisional ini ditemui ketika musim perayaan khususnya pada sambutan Aidilfitri dan dimakan bersama rendang atau kuah kari.
Lemang Kijal sudah menjadi sebutan di kalangan pengunjung yang sering menggunakan laluan Kuantan - Kuala Terengganu dan akan singgah untuk menikmati keenakan makanan tradisional tersebut untuk dibawa pulang.
Dikenali sebagai Wilayah Lemang, Lemang Kijal mempunyai peminatnya sendiri yang sanggup datang dari jauh semata- mata hanya untuk membeli makanan yang tersohor di Negeri Terengganu itu untuk juadah pada musim perayaan.
Bagi peniaga, kehadiran pengunjung pada musim cuti sekolah dan musim perayaan menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menyediakan lemang untuk dijual berikutan permintaan pembeli yang meningkat setiap kali tibanya musim perayaan.
Peniaga sedang sibuk menyediakan lemang untuk dijual Bagi Selamah Mohammad, 60, kehadiran musim perayaan terutamanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan permintaan terhadap makanan tradisional tersebut meningkat sekali ganda berbanding hari-hari biasa.
Peniaga berkenaan, Selamah Mohammad mengakui berasa sedikit letih disebabkan peningkatan jualan pada bulan Ramadan dimana pada hari biasa dia hanya mampu menjual sebanyak 50 ke 100 batang sahaja namun pada bulan puasa meningkat kepada 200 ratus batang sehari.
"Alhamdulillah, sepanjang bulan puasa pendapatan saya meningkat dan terpaksa menambah bilangan lemang kerana pembeli sudah mula membeli pada waktu tengahari dan pada sebelah petang lemang yang dijual sudah habis dibeli.
"Bukan saya sahaja, rakan-rakan peniaga lain juga turut merasai peningkatan hasil jualan pada bulan puasa ini dan kami sangat gembira kerana dapat meningkatkan pendapatan kami pada Ramadan ini," katanya.
Bagi Abdul Hamid Talib, 63, mengakui tidak menang tangan menyediakan lemamg kerana permintaan untuk makanan tradisional itu meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.
Bagi Abdul Hamid Talib pula, dia gembira kerana dapat menambah pendapatan kerana pada kebiasannya dia hanya perlu menyediakan sebanyak lima kilogram beras pada hari biasa namun pada Ramadan dia terpaksa menyediakan 10 hingga 20 kilogram beras pada setiap hari.
"Alhamdulillah, memang jualan lemang setiap hari habis licin dibeli pengunjung, saya bermula pada pagi dan pada petang, kesemua lemang yang dijual habis dibeli dan terpaksa menambah bilangan lemang bila Aidilfitri semakin hampir," katanya.
Sementara itu, bagi pengunjung pula keenakan Lemang Kijal memang dinantikan setiap kali pulang ke kampung halaman di samping harganya yang murah dan kualiti lemang yang terjamin.
Seorang pekerja swasta, Hafizah Che Ali, 34, keenakan lemang tersebut memang diakui dan harganya yang murah menyebabkan dia sanggup membeli lemang tersebut untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah.
"Memang sedap la, tak ada lemang yang sesedap ini di kawasan lain.
"Di samping harganya yang murah dan bentuknya yang comel, memang ianya menjadi pilihan saya dan suami untuk membawanya pulang ke kampung untuk dimakan bersama keluarga, " katanya.
Bagi Asraf Ismail, 34, keenakan lemang Kijal menyebabkan dia sanggup singgah setiap kali melalui kawasan tersebut untuk dibawa pulang ke kediamannya di Kuantan, Pahang.
"Lemang dia memang rasa lain macam sikit, tak sama dengan lemang yang ada di tempat lain. Memang lain rasa dia dan harga memang murah berbanding dengan di luar,"katanya.
Permintaan terhadap Lemang Kijal dijangka meningkat menjadi tiga kali ganda pada sehari sebelum perayaan Aidilfiti berikutan semua perantau sudah mula pulang ke kampung halaman dan pasti akan singgah untuk membeli juadah yang terkenal di Negeri Terengganu sebagai juadah utama dinikmati bersama keluarga.
No comments
Post a Comment