NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketua Pembangkang bakal ketuai PAC?




PENUBUHAN Jawatankuasa Parlimen dan pelantikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara proses pendemokrasian yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, lebih banyak lagi transformasi Parlimen bakal dilaksanakan menjelang persidangan pertama yang dijadualkan bulan hadapan.


Beliau berkata, tempoh 100 hari pertama pemerintahan adalah tempoh transisi ke arah pendemokrasian Parlimen malah, antara pendekatan itu tidak pernah berlaku dalam kerajaan sebelum ini misalnya pelantikan Pengerusi PAC daripada blok pembangkang.

"Matlamatnya ialah kita ingin melihat negara ini bukan hanya dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama, aman dan stabil tetapi juga dikenali dengan rakyatnya yang demokratik.

"Justeru pelaksanaan berkenaan sewajarnya dicontohi negeri pembangkang dalam memastikan rakyat terus menghormati pemimpin yang ada," katanya pada Majlis Sambutan Aidifitri PH Indera Mahkota dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota yakin dengan menuju 100 hari pertama kerajaaan, lebih banyak janji pada manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dapat dipenuhi.

Katanya, selepas 30 hari kerajaan baharu beberapa janji sudah dilaksanakan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), stabilkan harga minyak, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suri rumah.

Mengenai namanya yang dikatakan tersenarai dalam barisan Kabinet, Saifuddin sendiri tidak pasti dan menunggu keputusan rasmi berhubung perkara itu minggu depan.

"Saya belum pasti dengan nama yang disenaraikan termasuk senarai akhir berhubung perkara ini, sebaiknya tunggu pengumumannya.

Kita tunggu keputusan yang akan dibuat pucuk pimpinan, saya terima setiap keputusan dibuat," katanya. - Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo