oleh: Syahir Sulaiman
Pada hari Rabu yang lepas, saya bertemu dengan dua anak muda yang menjadi penggerak utama kempen #Undi18, iaitu Saudara Tharma dan Saudara Azham.
Pertemuan tersebut diatur oleh Saudara Azham untuk kami bertukar pandangan, khususnya tentang inisiatif yang digerakkan oleh #Undi18 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Dalam pertemuan tersebut, mereka berkongsi tentang bagaimana tercetusnya idea ini, hinggalah kepada cabaran yang telah mereka hadapi, serta perancangan yang akan diambil bagi merealisasikan hasrat ini. Kagum saya dengan idealisma dan kesungguhan mereka.
Saya pula berkongsi pandangan dengan menyatakan dalam Islam, seseorang itu dikira sebagai bertanggungjawab (mukallaf) setelah mencapai umur aqil baligh, yang biasanya lebih awal daripada umur 18 tahun.
Ini bermakna seseorang itu perlu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan di atas setiap perlakuan, tindakan, dan ucapan setelah dikira ‘cukup umur’ mengikut syarak.
Malah sejarah Islam membuktikan pengiktirafan kepada ‘kematangan’ pemuda sejak zaman Rasulullah, antaranya dengan diberikan jawatan penting seperti penulis wahyu, perawi hadis, panglima perang, utusan dakwah, hakim dan guru ketika masih berusia belasan tahun seperti Saidina Ali, Saidatina Aisyah, Usamah bin Zayd, Mus’ab bin Umayr, dan Muaz bin Jabal.
Malah sejarah menyaksikan kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka kota Konstantinopel (Istanbul, Turki) pada usia 21 tahun.
Saya turut berkongsi bahawa di dalam Perlembagaan PAS, kelayakan untuk menjadi Ahli PAS adalah Islam, warganegara, dan 'aqil baligh' mengikut hukum syarak, manakala pelajar IPT perlu mendapat kebenaran pihak universiti.
Ini bermakna, PAS terkehadapan dalam mengiktiraf kematangan anak muda untuk berpatisipasi dalam politik di usia belasan tahun, walaupun had umur layak mengundi yang ditetapkan di Malaysia adalah pada usia 21 tahun.
Di akhir pertemuan, saya menyarankan agar #Undi18 merancakkan budaya dialog dan wacana di kalangan anak muda, mahasiswa, NGO dan parti politik; dan saya mendoakan agar usaha mereka berjaya.
Sekiranya berjaya (dan saya yakin akan berjaya), Pemuda PAS berhadapan dengan tugasan yang sangat besar untuk memenangi sokongan pengundi muda (gen-Y dan gen-Z), khususnya dalam aspek meningkatkan kesedaran dan kematangan politik (political education) di kalangan anak muda Malaysia.
Jom kita bertanya khabar dengan calon SPM, PT3 dan UPSR tahun ini, kerana mereka bakal menjadi pengundi dalam pilihanraya akan datang.
#KuasaAnakMuda
#MenujuCita
Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
No comments
Post a Comment