SALMAH MAT HUSAIN
12 JUNE 2018
KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Asri Mat Daud hari ini mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik baru Menteri Besar.
Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob di Kota Darulnaim. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nazran Muhammad, Penasihat Undang-Undang, Dato' Shahidani Abdul Aziz dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.
Menteri Besar ketika ditemui berharap Mohd Asri dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik.
Katanya, jawatan Setiausaha Politik begitu mencabar namun beliau yakin pengalamannya sebagai bekas Setiausaha Akhbar sebelum ini dapat membantunya melaksanakan tugas dengan baik.
"Kita juga berharap pelantikan Setiausaha Politik dapat membantu menyalurkan maklumat terkini berkaitan politik semasa yang berlaku," ujarnya.
Beliau juga berkata, kejayaan PAS mentadbir semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum lepas diharap dapat meningkatkan lagi hubungan politik antara kedua-dua negeri.
"InsyaAllah saya yakin Ustaz Asri tahu selok belok dalam politik bersesuaian peranannya sebelum ini dalam Dewan Pemuda dan Dewan Ulama dapat membantunya," ujarnya.
Mohd Asri ketika ditemui berkata, beliau juga akan membantu meningkatkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan pusat di bawah Pakatan Harapan sekarang.
Katanya, kerajaan negeri akan melakukan kunjungan hormat ke atas pimpinan kerajaan pusat bagi meningkatkan hubungan dengan kerajaan pusat.
Menurutnya juga jawatan yang disandang sekarang begitu mencabar namun mengucap terima kasih di atas kepercayaan diberi Menteri Besar.
Mohd Asri juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 12/6/2018
No comments
Post a Comment