NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kekalkan Subsidi Dan Bantuan Kepada Petani Dan Nelayan.



oleh: Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin

27 JUN 2018 | 13 SYAWAL 1439

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)  mendesak agar Kerajaan terus mengekalkan bantuan dan subsidi kepada para petani dan nelayan seperti sediakala. Bantuan dan subsidi tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka di kala harga komiditi pertanian dan perikanan tidak menentu di pasaran.

2. DPPM menyarankan agar Kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menyemak semula dasar pertanian negara, membantu meningkatkan tahap pengeluaran sektor pertanian dan perikanan, mewujudkan pertanian berteknologi tinggi, membantu petani dan nelayan memasarkan produk mereka dengan memperkasakan agensi pemasaran di bawah Kementerian, menghapuskan monopoli serta peranan orang tengah dalam sektor berkaitan.

3. Kerajaan perlu sedar, kebanyakkan petani dan nelayan adalah berpendapatan rendah. Dengan menghentikan bantuan dan subsidi kepada mereka, para petani dan nelayan tidak mampu meneruskan aktiviti mereka kerana kekurangan modal sekaligus merencatkan pertumbuhan sektor tersebut serta berkemungkinan besar meningkatkan kadar inflasi dalam negara. Sanggupkah berjimat berjuta ringgit dan membiarkan golongan petani serta nelayan hidup melarat? 

4. Industri pertanian dan perikanan perlu di angkat semula sebagai salah satu penyumbang ekonomi negara. Setelah sekian lama terpinggir akibat ledakan industri berteknologi tinggi dan IT, Kerajaan wajar menilai semula peranan sektor pertanian dalam ekonomi negara kerana kebanyakkan rakyat bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan dan mata pencarian mereka. Sumber asasi makanan keseluruhan rakyat Malaysia bergantung kepada sektor pertanian negara melainkan pihak menteri hanya makan dari sumber import sahaja. 

5. Dengan Kerajaan memfokuskan semula Jepun sebagai contoh negara maju, wajar Kerajaan melihat bagaimana Jepun membangunkan sektor pertanian dan asas tani mereka, membantu para petani mereka meningkatkan hasil pertanian mereka dengan teknologi dan kaedah pemasaran terkini. Usah di lihat sahaja bagaimana Jepun membangunkan industri teknologi tinggi dan IT mereka dengan melupakan bagaimana canggih dan majunya sektor pertanian mereka.

6. Import makanan negara semakin meningkat dengan begitu tinggi setiap tahun. Pada tahun 2015, import makanan negara berjumlah RM 45.4 Billion, meningkat sebanyak RM 2.8 Billion dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 42.6 Billion. 4 tahun sebelumnya jumlah import makanan hanya berjumlah RM 30.2 Billion, peningkatan mendadak sebanyak RM 12.4 Billion. Dengan begitu tingginya bil import makanan negara, Kerajaan perlu sedar betapa pentingnya untuk memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani kepada negara secara amnya.

6. DPPM menyeru semua pihak terutamanya Kerajaan agar memperkasakan sektor pertanian, asas tani dan perikanan. Dengan meneruskan bantuan dan subsidi kepada para petani dan nelayan di samping memperkasakan sektor tersebut dengan teknologi serta kaedah pemasaran terkini, Kerajaan bukan saja dapat membantu mereka malah memajukan sektor tersebut dan mengurangkan bil import makanan negara yang begitu tinggi setiap tahun. 

7. Dengan menghentikan bantuan dan subsidi kepada para petani dan nelayan, kita bukan sahaja membantutkan pertumbuhan sektor pertanian dan perikanan malah kita sebenarnya menghancurkan harapan dan masa depan banyak keluarga dan rakyat yang banyak bergantung kepada industri tersebut. Perkasakan industri pertanian dan perikanan sebagai salah satu teras ekonomi negara. Maju Negara, Rakyat Sejahtera.


"MARA MENUJU CITA"
"SEJAHTERA BERSAMA ISLAM"

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin adalah Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo