NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jaga adab ketika meraikan hari raya

MUHAMAD IQBAL MOHD. ZAZULI
19 Jun 2018 1:59 AM


Hari Raya Aidilfitri merupakan saat terbaik untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.


Pada ketika itulah, umat Islam akan bertandang dari rumah ke rumah sambil membawa niat untuk memohon kemaafan.


Kemeriahan semakin dirasai apabila seisi keluarga pulang ke kampung halaman untuk menyemarakkan amalan ziarah tersebut.

Secara umumnya, tujuan utama aktiviti ziarah pada Aidilfitri adalah untuk mengeratkan silaturahim, hubungan antara ahli keluarga, bertemu rakan-rakan yang sudah lama terpisah dan bertanya khabar.

Bagaimanapun, beberapa adab yang perlu dititikberatkan ketika berziarah bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan faham yang boleh mengundang rasa tidak senang.

Pendakwah Bebas, Ustaz Syed Abd. Kadir Syed Hussin Aljoofre berkata, adab itu sedikit sebanyak menjadi panduan ketika berhari raya, sekali gus melahirkan rasa gembira dalam diri semua pihak.

Pertama, adab yang perlu ditekankan adalah dari segi niat melakukan ziarah tersebut.

"Niat itu biarlah betul kerana kalau awal-awal lagi sudah pasang niat untuk menunjuk-nunjuk, maka rugilah orang itu.

"Adab kedua yang perlu dilakukan ialah memberi salam.

"Walaupun ia nampak remeh, banyak berlaku kes ketika ini apabila individu itu terlepas pandang untuk memberi salam kerana mungkin terlebih gembira atau sebagainya," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Syed Abd. Kadir, orang ramai seharusnya mengalihkan pandangan dari pintu rumah tetamu selepas memberi salam.

Terangnya, signifikan adab itu adalah menghormati ruang untuk tuan rumah bersiap dan mengemas rumah sebelum menerima tetamu.

"Selain itu, adab yang dianjurkan ialah menundukkan pandangan apabila sudah dijemput masuk ke dalam rumah.

"Mata tetamu yang liar memerhatikan sekeliling kawasan rumah akan mengundang rasa tidak selesa tuan rumah, maka lebih baik jika hanya fokus kepada perbualan," katanya.

Sensitif

Daripada segi pertuturan pula, Syed Abd. Kadir menasihati orang ramai supaya mengelak mengajukan sebarang soalan-soalan sensitif.

Hal ini kerana ia mungkin mengguris hati tetamu hingga akhirnya menghakis objektif utama jalinan silaturahim itu.

Ketika ditanya berkenaan pemberian duit raya, Syed Abd. Kadir berkata, ia tidak menjadi masalah kerana perkara penting yang perlu dilakukan ketika hari raya ialah menggembirakan golongan kanak-kanak.

Begitupun, pemberian itu tidak hanya pada duit semata-mata kerana ia juga boleh diberikan dalam bentuk buku atau manisan.

Selain itu, Syed Abd. Kadir turut berpesan kepada masyarakat untuk mengajar anak-anak supaya menjaga akhlak ketika berada di rumah orang serta menerapkan nilai-nilai murni.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, Aidilfitri merupakan medan penerapan nilai murni dalam diri masyarakat khususnya generasi muda.

Katanya, walaupun hari raya disambut dengan cara yang berbeza di sesetengah kawasan, objektif utama masih sama.

Sehubungan itu, generasi muda perlu diterapkan dengan pengisian serta sistem nilai sempena Aidilfitri ini.

Zaid menambah, sekiranya ia tidak diterapkan, generasi muda yang menetap, membesar dan bersekolah di bandar akan berhadapan dengan konflik nilai apabila dibawa pulang ke kampung halaman oleh ibu bapa mereka.

Hal ini kerana kebanyakan generasi muda dibesarkan dengan gajet, sekali gus menyebabkan mereka seolah-olah tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

Oleh itu, peranan tersebut perlu diperkasa oleh ibu bapa bagi memastikan konsep ziarah pada hari raya itu tercapai.

"Generasi muda ini lebih tertumpu kepada gajet dan teknologi daripada saling berkomunikasi dengan orang luar seperti tuan rumah, saudara-mara atau ahli keluarga sendiri.

"Seolah-olah mereka tidak nampak kepentingan dan menghargai usaha ibu bapa untuk merapatkan silaturahim pada Hari Raya Aidilfitri.

"Disebabkan itulah, ibu bapa perlu menggunakan sepenuhnya kesempatan ini untuk mendidik dan menerapkan tujuan sebenar ziarah itu," tegasnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo