NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga perkhidmatan jalur lebar dikurangkan


PUTRAJAYA - Harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka akan turun sekurang-kurangnya 25 peratus pada penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penurunan harga tersebut berikutan Standard Mandatori Harga Capaian (MSAP) yang dilaksanakan sejak 8 Jun 2018.


"Perbincangan dengan pihak yang terlibat untuk penetapan harga borong sedang dilakukan di mana penurunan harga borong bakal mengurangkan harga pasaran untuk pengguna.

"Saya difahamkan bahawa proses ini akan berakhir pada Julai atau Ogos ini dan seterusnya pakej perkhidmatan jalur lebar pada harga yang lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Gobind berkata, polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) dalam pasaran.

"Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mempertimbangkan langkah-langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar.

"Selain itu, saya telah meminta SKMM untuk memantau harga jalur lebar di Malaysia supaya harga pakej peringkat permulaan adalah munasabah untuk semua rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata, tidak mustahil pengguna akan mendapat rebat kesan penurunan harga jalur lebar memandangkan semakan harga sepatutnya dilakukan pada 1 Januari lalu.

Berhubung usaha meningkatkan kelajuan Internet setaraf dengan negara-negara maju, beliau menjelaskan, langkah itu boleh dilakukan dan sebarang perkembangan berhubung usaha berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Gobind memberitahu, peratusan penembusan jalur lebar di Malaysia ketika ini adalah sebanyak 78 peratus. - K! ONLINE

Sumber: http://www.kosmo.com.my/terkini/harga-perkhidmatan-jalur-lebar-dikurangkan-1.693500

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo